KUALA
LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang ingin tahu bila
agaknya Malaysia akan ditampilkan di muka depan majalah dalam dan luar
negara sebagai “negara bertuah” dan “rendah kadar jenayah”.
Ini kerana laporan muka depan dua majalah antarabangsa
bulan lalu membuatkan rakyat Malaysia merenung perkembangan di negara
ini selepas 100 hari Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) berlalu dan ketika
negara sedang bersiap untuk menyambut Hari Kemerdekaan ke-56 sebelas
hari lagi.
Menurutnya, majalah The Economist edisi 20 Julai lalu
menerusi rencana berjudul “The Curious Case of the Fall ini Crime”
melaporkan bahawa kadar jenayah di negara kaya semakin turun walaupun
berdepan dengan masalah kadar pengangguran yang tinggi dan kelembapan
ekonomi.
“Rencana “ringkasan berita” The Economist itu menyebut di
seluruh dunia maju, gelombang jenayah yang bermula pada tahun 1950an
kini sedang berkurangan.
“Rekod polis (yang meremehkan beberapa jenis jenayah) dan
tinjauan di kalangan mangsa (yang tidak selalunya tersedia sebagai
sumber data) menunjukkan kadar jenayah terhadap orang perseorangan dan
harta benda semakin berkurangan sepanjang sepuluh tahun lalu di
kebanyakan negara kaya. Di Amerika, penurunan kadar jenayah bermula
sekitar 1991; di Britain, ia bermula sekitar 1995, walaupun kadar
jenayah pembunuhan hanya mula berkurangan pada pertengahan tahun 2000an.
Di Perancis, jenayah membabitkan harta benda meningkat sehingga tahun
2001–tetapi ia berkurangan sebanyak satu pertiga sejak itu. Beberapa
jenis jenayah tidak lagi berlaku. Pada 1997, sekitar 400,000 kereta
dilaporkan dicuri di England dan Wales: pada 2012, jumlahnya hanya
86,000.
“Kadar pengurangan jenayah paling ketara di kota utama.
Kadar jenayah ganas menurun sebanyak 32% sejak 1990 di seluruh Amerika;
kota besar mencatatkan kadar penurunan sebanyak 64%. Di New York, di
kawasan sekitar Times Square on 42nd Street, tempat yang dulunya
dipenuhi pengedar filem lucah dan penyangak, kini menjadi tempat tumpuan
pelancongan berkeluarga. Di kawasan perumahan di London, kanak-kanak
bermain di kaki lima konkrit yang dulunya menjadi medan penagih dadah.
Di Tallinn, anda boleh berjalan kaki pulang ke rumah selepas menonton
teater tanpa dicabul, tidak kira pada jam selewat mana pun anda pulang.”
Ahli Parlimen Gelang Patah dalam kenyataan medianya
berkata, sememangnya orang masih membahaskan mengenai sebab sebenar yang
membawa kepada penurunan ketara kadar jenayah di negara maju, tetapi di
Malaysia, 100 hari selepas PRU-13 dan 11 hari sebelum sambutan Hari
Kemerdekaan ke-56, rakyat masih berdepan dengan ketakutan dan
kebimbangan, apa lagi senjata api kini mudah diperolehi dan kadar
jenayah membabitkan senjata api kerap terjadi.
“Apa yang tidak kena dengan Malaysia sehingga negara ini seolah-olah dikuasai hukum rimba.
“Kulit depan majalah Time minggu lalu pula menampilkan laporan berjudul “We are Australia: The true face of the lucky country”.
“Bolehkah kita bayangkan Malaysia ditampilkan pada muka
depan majalah dalam dan luar negeri dalam tempoh tiga bulan lalu sebagai
“Wajah Sejati Sebuah Negara Bertuah,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu tidak dapat bayangkan di tengah
marak bahasa dan politik kebencian yang berputar mengenai isu kaum dan
agama yang seolah-olah cuba menafikan kepelbagaian kaum, bahasa, budaya,
dan agama di Malaysia adalah aset negara ini yang terbaik, bukannya
punca kelemahan yang terbesar.
Katanya, setelah lebih 100 hari PRU-13 dan 11 hari
menjelang perayaan Hari Kemerdekaan ke-56, rakyat Malaysia perlu
bertanya bila dan apa yang perlu dilakukan agar Malaysia dapat tampil di
muka depan majalah dalam dan luar negara sebagai “negara bertuah” dan
“rendah kadar jenayah”.-Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan