Sabtu, 24 Ogos 2013

Bekas IGP mahu polis segera tambah anggota

 


 
Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berpandangan penambahan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah keperluan segera yang tidak boleh lagi ditangguhkan.

Katanya dengan mengambil kira situasi semasa, faktor tidak ada peruntukan sudah tidak boleh diterima kerana keselamatan rakyat harus diutamakan.

Sememangnya PDRM yang dibahagikan kepada beberapa jabatan, masih kekurangan anggota dan ini membataskan lagi pergerakan dan operasi cegah jenayah, katanya kepada pemberita selepas program Tayangan Pratonton dan Dialog Filem Tanda Putera, di Kemaman semalam.

Mengulas lanjut, Musa berkata ketika beliau mengetuai PDRM, beliau pernah memohon tambahan 60,000 anggota.

Mengenai peningkatan jenayah senjata api sejak kebelakangan ini, Musa berkata beliau percaya keadaan itu ada kaitan dengan penyeludupan senjata api ke negara ini.

Senjata api mudah diperoleh penjenayah menerusi pasaran gelap yang mendapat bekalan daripada penyeludup, justeru saya berpandangan kawalan di sempadan harus dipertingkatkan, katanya.

Menurut Musa, beliau difahamkan sejak April lepas terdapat 32 kes membabitkan penggunaan senjata api di negara ini.

Beliau juga menggesa PDRM agar tidak mudah tunduk dengan desakan pihak tertentu untuk melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan ketenteraman dan keselamatan awam, atas nama liberalisasi.- Bernama

Tiada ulasan: