KOTA BHARU - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi jaminan bahawa sempadan Malaysia-Thailand sejauh 140 kilometer adalah terkawal.

Panglima Lapan Briged Infantri, Brig Jen Datuk Mohd Zaki Hamzah berkata kawalan sempadan itu dari Pengkalan Kubor di Tumpat hingga Batu Melintang di Jeli, di bawah Ops Merpati dan Ops Wawasan, ternyata membuahkan hasil apabila pihaknya berjaya mengurangkan aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

"Kawasan sempadan yang diletakkan di bawah pengawasan Rejimen Pertama Rejimen Sempadan dengan kekuatan 600 anggota bertugas 24 jam sehari dengan rondaan secara berjalan kaki ataupun bermotosikal.

"Kita turut mengadakan serang hendap pada waktu malam di beberapa pangkalan haram yang terlibat dengan aktiviti penyeludupan. Setakat ini kita kesan ada 150 pangkalan haram beroperasi di sepanjang sempadan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.

Mohd Zaki berkata kerjasama dengan agensi keselamatan lain seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) ternyata banyak membantu mengurangkan kadar jenayah di sempadan.   

Beliau berkata antara kejayaan yang telah dicapai oleh pasukan itu sehingga Ogos tahun ini ialah merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM12 juta dan menahan 123 pendatang asing tanpa izin yang cuba masuk ke negara ini melalui lorong tikus.

"Kita turut menahan 12 pendatang asing tanpa izin pada petang dan malam semalam. Warganegara Myanmar merupakan pendatang asing tanpa izin yang paling ramai ditahan dengan menjadikan pekan Golok di Selatan Thailand sebagai pusat transit mereka untuk masuk ke negara ini," katanya. - Bernama