Seorang anggota tentera yang sedang membuat rondaan kawalan keselamatan
di kawasan pagar sempadan Malaysia-Thailand di sini, cedera selepas
terkena tembakan dalam kejadian awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Ibrahim Mohd Yusoff berkata
mangsa, Azamuddin Azizan, 26, cedera di beberapa bahagian badan termasuk
bahu kanan, siku kanan dan kedua-dua belah lutut dalam kejadian itu.
Beliau berkata ketika kejadian, Azamuddin bersama seorang lagi anggota
tentera sedang membuat rondaan selepas mendapat aduan terdapat lubang di
pagar sempadan.
"Mangsa dan rakannya sedang membuat pemeriksaan selepas mendapat
laporan, sebelum berlaku tembakan dari seberang pagar. Mangsa
kemudiannya terkena tembakan dari arah Thailand dipercayai menggunakan
senapang patah.
“Selepas melihat mangsa ditembak, rakannya membawa mangsa ke kawasan
yang selamat sebelum bantuan tiba. Rakan setugas mangsa tidak mengalami
kecederaan," katanya kepada pemberita di sini.
Ibrahim berkata mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis dan keadaannya dilapor stabil.
Beliau berkata suspek dipercayai melepaskan tembakan dari kawasan semak
berhampiran sempadan, kira-kira 30 meter dari pintu pagar kawalan,
namun bilangan suspek sukar dikenal pasti kerana keadaan yang gelap.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika
melawat tempat kejadian petang tadi, berkata kes berkenaan dipandang
serius kerana membabitkan tembakan dipercayai dari arah negara jiran.
Polis akan menghubungi pihak berkuasa Thailand bagi membantu siasatan, katanya.
"Saya juga menyeru penduduk di sempadan supaya sentiasa memaklumkan
pada pihak polis kalau tahu ada perkara-perkara yang melanggar
undang-undang," katanya.
Khalid meluangkan masa kira-kira 20 minit melawat tempat kejadian
diiringi Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim dan Ketua Polis Perlis
Datuk Zull Aznam Haron. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan