SHAH ALAM : Sambutan Aidilfitri tahun ini disambut meriah dengan lebih 20,000 rakyat pelbagai kaum mengunjungi Rumah Terbuka Kerajaan Selangor di Fataran SUK di sini, hari ini.
Majlis bermula jam 11 pagi hingga 2 petang itu didatangi masyarakat dari segenap pelusuk yang mengambil peluang untuk bersua muka dan bersalaman dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Hadir sama, Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh, selain exco negeri, antaranya Datuk Teng Chang Khim, Rodziah Ismail, Iskandar Abdul Samad, Dr Daroyah Alwi, Dr Ahmad Yunus Hairi serta Adun.
Diplomat asing, pemimpin parti politik, pelancong dan ketua jabatan kerajaan Selangor tambah menyerikan majlis yang dihoskan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Seramai 270 rakyat Selangor terdiri daripada orang kelainan upaya (OKU), warga emas, anak yatim, ibu tunggal dan Orang Asal turut dirai pucuk pimpinan negeri.
Abdul Khalid juga sempat meluangkan masa bersalaman bersama media sebelum menyerahkan 10,000 sampul duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.
Pengunjung disajikan pelbagai juadah, kebanyakannya menu tempatan seperti sate, rendang, lemang, ketupat dan nasi himpit, selain menerima pek ole-ole.- FZL
Tiada ulasan:
Catat Ulasan