Khamis, 18 Julai 2013

YTL nak pakai duit rakyat bayar projek mereka? - Zairil

Oleh Zairil Khir Johari

Awal minggu ini, saya telah mendedahkan bagaimana YTL Corporation Bhd dan anak syarikatnya diberikan monopoli lumayan ke atas siri projek ICT milik Kementerian Pendidikan yang kononnya bertujuan untuk mendigitalkan keseluruhan sistem sekolah negara ini dengan menyediakan komputer riba untuk setiap pelajar, satu pelantar e-pembelajaran serta jalur lebar berkelajuan tinggi di setiap sekolah.

Tiga projek utama yang dianugerahkan kepada YTL adalah sebagaimana berikut:
  1. Pemasangan jalur lebar 4G berkelajuan tinggi di bawah program 1BestariNet ke semua sekolah (RM663 juta bagi kontrak 2.5 tahun);
  2. Pelantar Pembelajaran Maya (VLE) untuk guru-guru, pelajar dan ibu bapa (RM250.5 juta untuk yuran pelesenan bagi suatu jangka masa tetap dan RM262.8 juta bagi kos pengurusan dan penyelenggaraan); dan
  3. Pembekalan komputer riba Chromebook di bawah program “1 Student 1 Device” (RM139.6 juta untuk tempahan 116,399 unit permulaan pada kos RM1,200 setiap unit).
Saya juga telah menimbulkan persoalan mengenai rasional penganugerahan monopoli penuh kepada YTL, memandangkan hakikatnya YTL bukan pakar dalam bidang pendidikan atau pengeluar mahupun pembekal perkakasan komputer. Malah, saya telah membentangkan bagaimana harga Chromebook yang dibekalkan oleh YTL adalah lebih mahal berbanding harga pasaran runcit bagi unit yang sama, walaupun jumlah tempahan adalah begitu besar.

Semalam, saya mempersoalkan keberkesanan pelantar VLE, dan menunjukkan beberapa contoh di UK di mana projek-projek VLE yang serupa tidak membuahkan hasil yang dikehendaki, khususnya dalam kes di mana guru-guru tidak dapat melaksanakan sepenuhnya sistem dengan cara yang paling afdal. Ini menimbulkan persoalan sama ada guru-guru kita sendiri dapat mengguna dan mengajar dengan VLE itu. Saya pasti, ramai yang masih mengingati bagaimana dasar PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) telah gagal kerana guru-guru kita tidak mempunyai kecekapan dalam bahasa Inggeris.

Bagi projek 1BestariNet, saya menerima jawapan Parlimen yang menyatakan projek ini melibatkan pemasangan jalur lebar berkelajuan tinggi berasaskan teknologi 4G, dengan kelajuan minimum 4Mbps sehingga 20Mbps, yang meliputi 9,889 buah sekolah di seluruh negara. Pada 5 Jun 2013, 7,139 sekolah telah pun dilengkapi dengan 1BestariNet. Projek ini bakal menelan belanja sebanyak RM663 juta bagi tempoh kontrak dua tahun enam bulan bermula Januari 2012, di mana RM463 juta ataupun 69% sudah pun dibayar.

Perlaksanaan 1BestariNet juga mecakupi pembinaan menara telekomunikasi di dalam dan sekitar kawasan sekolah. Pada 31 Mei 2013, 1,503 menara 1BRIS (1BestariNet Receiver Integrated System) telah dibina dan telah mula beroperasi, sementara 281 telah dibina tetapi belum beroperasi. 53 menara 1BRIS masih dalam pembinaan.

Pemasangan menara telekomunikasi ini menimbulkan beberapa soalan. Menurut laporan oleh fz.com pada 10 Mei 2013, Pengarah YTL Yeoh Seok Hong dipetik sebagai berkata bahawa “menara yang didirikan di sekolah-sekolah bukan sahaja akan menyediakan sambungan Internet tanpa wayar di sekolah, tetapi di kawasan sekitar juga.” Dalam erti kata lain, YTL dapat memanfaatkan menara ini untuk menawarkan perkhidmatan jalur lebar YES 4G mereka kepada masyarakat sekitar.

Sekiranya begitu, maka Kementerian Pendidikan perlu menjelaskan perkara berikut:
  1. Adakah wang pembayar cukai digunakan untuk tujuan pengembangan komersial rangkaian 4G YES YTL?
  2. Mengapa YTL dibenarkan mengaut keuntungan tambahan daripada infrastruktur yang dipasang di atas kawasan sekolah bagi kegunaan pendidikan?
  3. Adakah YTL akan dikenakan bayaran untuk menggunakan tanah sekolah untuk tujuan komersial?
Pihak Kementerian harus menjawab soalan-soalan di atas dengan segera. Sekiranya benar, maka skandal ini akan memberi makna baru kepada istilah kronisme. YTL bukan sahaja boleh mendapat manfaat daripada perjanjian berbilion ringgit yang sangat menguntungkan ini, tetapi mereka juga telah berjaya mencari jalan licik untuk mengembangkan infrastruktur komersial mereka ke serata negara dengan pembiayaan wang pembayar cukai!

Zairil Khir Johari
Ahli Parlimen Bukit Bendera


Tiada ulasan: