Khamis, 25 Julai 2013

Tribunal Rakyat bermula 18 September, kerajaan harus respon, kata Ambiga

Oleh Md Izwan

Bersih 2.0 hari ini mengumumkan Tribunal Rakyat akan bermula pada 18 September depan, kata Datuk Ambiga Sreenevasan(gambar) dan menggesa Putrajaya supaya memberi maklum balas selepas tribunal itu berakhir.

Tribunal Rakyat selama lima hari yang diadakan di Kuala Lumpur bagi menyiasat dakwaan berlaku penipuan pilihan raya seperti daftar pemilih yang tidak bersih serta dakwat kekal mudah ditanggalkan.

"Kami jangka kerajaan akan memberi respon positif kepada semua penemuan dalam tribunal rakyat nanti."

 "Tribunal memberi fokus kepada isu berkaitan pilihan raya, khususnya penipuan dan salah guna kuasa," kata pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

Dalam pada itu, Bersih juga mengumumkan enam ahli tribunal berpengalaman untuk mengendalikan prosiding yang terdiri daripada tiga dari luar negara dan tiga warga tempatan.

Tiga individu dari luar negara ialah bekas Wakil Khas Setiausaha Agung PBB di Kemboja, Yash Pal Gai selaku pengerusi; bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia, Ramlan Surbakti dan Kraisak Choonhavan, bekas Presiden ASEAN Inter-Parliamentary Myanmar Caucus (AIPMC).

Tiga ahli tempatan ialah Peguam Bela dan Peguam Cara Mahkamah Tinggi Malaya, Datuk Azzat Kamaludin; bekas profesor Fakulti Ekonomi dan Pentabdiran Universiti Malaya, Dr Mavis Puthucheary dan Rev Dr Hermen Shastri, Setiausaha Agung Lembaga Gereja Malaysia (CCM).

"Kriteria pemilihan berasaskan pengalaman dan reputasi di kalangan masyarakat awam," kata Pengarah Eksekutif Pertubuhan Kebajikan Wanita (WAO), Ivy Josiah yang turut sama dalam sidang media hari ini.

Bagi pasukan perundangan, Bersih mengumumkan pelantikan Profesor Undang-Undang Universiti Malaya Gurdial Singh Nijar bagi mengumpul bukti dan mengambil keterangan saksi untuk dibentang dalam tribunal.

Di samping itu, Ahli Jawatankuasa Penganjur lain turut berada dalam Tribunal Rakyat ialah Irene Fernandez, Meera Samanther dan Jerald Joseph.

Ambiga berkata, tribunal itu akan menjadi platform 'kuasa moral' untuk menyiasat secara terbuka pendedahan penipuan yang didakwa dalam pilihan raya umum 5 Mei.

"Kami juga akan menjemput pemerhati untuk melihat perjalanan prosiding, ia termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya," katanya.

Tiada ulasan: