KUALA LUMPUR:
Kementerian Kesihatan menasihatkan orang awam supaya mengelak membeli
dan menggunakan tiga produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun
berjadual tretinoin, asid azelaik dan merkuri.
Pengarah
Kanan Perkhidmatan Farmasi, Datuk Eisah A.Rahman berkata, produk
tersebut ialah Aveana Night Revival Cream yang mengandungi tretinoin,
Blemished Skin Ampoules (asid azelaik) dan Golden Horse B&W
Cream-GH902-1 (merkuri).
Beliau
berkata, penggunaan tretinoin tanpa pengawasan boleh menyebabkan
bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih,
mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.
Asid
azelaik yang digunakan untuk merawat masalah jerawat dan ‘rosacea’
iaitu keadaan kronik di mana muka menjadi merah di kawasan dahi, hidung
dan pipi hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.
“Pengunaan
asid azelaik tanpa pengawasan boleh menyebabkan bahagian kulit muka
yang disapu mengalami rasa terbakar, pedih dan kemerahan,” katanya
dalam kenyataan di sini, Khamis.
Beliau
juga berkata, produk yang dicampur dengan merkuri untuk mencerahkan
kulit dan antipenuaan seperti masalah jeragat, kulit tidak sekata dan
kedutan adalah tidak dibenarkan dan boleh memudaratkan kesihatan.
“Merkuri
yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyebabkan kerosakan pada
buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh mengganggu perkembangan
otak kanak-kanak yang masih kecil atau belum dilahirkan,” katanya.
Selain
itu, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami
oleh orang sekeliling terutama kanak-kanak apabila produk itu disapu
pada kulit meruap dan dihidu.
“Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya.
Eisah
berkata, syarikat bertanggungjawab ke atas produk berkenaan telah
diarahkan untuk menghentikan penjualan dan pembekalan dengan serta
merta dan memanggil balik produk tersebut daripada pasaran dalam tempoh
72 jam.
Justeru,
katanya penjual yang mempunyai stok produk itu dinasihati menghentikan
penjualan dan pengedaran kerana pemilikan produk itu melanggar
Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Individu
yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu boleh dikenakan hukuman
denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun
atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, dan denda tidak melebihi
RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk
kesalahan berikutnya.
Sementara
syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan
pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,
katanya.
Pengguna
dinasihatkan menghubungi Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan
(BPFK) di talian 03-78835532 atau 03-78835534 jika mengalami sebarang
kesan sampingan atau kesan buruk akibat penggunaan produk kosmetik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan