Sabtu, 13 Julai 2013

Tayar kereta api tergelincir di Sabah


THE MALAYSIAN INSIDER

Kira-kira 80 penumpang sebuah kereta api yang dalam perjalanan dari Tanjung Aru ke Papar terpaksa meneruskan perjalanan mereka dengan bas selepas satu tayar kereta api itu terkeluar daripada landasan dalam kejadian hari ini.

Pegawai Operasi Keretapi Sabah, Awang Zainudin Awang Matusin, berkata kejadian jam 8 pagi di kawasan Kampung Kawang itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada penumpang.

"Kejadian itu berlaku akibat masalah pada landasan, bukan kerana tidak diselenggara cuma di bahagian ini memang ada sedikit masalah dan pemandu sentiasa dinasihatkan berhati-hati dan mengurangkan kelajuan ketika melalui kawasan ini," katanya ketika ditemui pemberita, di lokasi kejadian.

Katanya, Jabatan Keretapi Sabah sedang berusaha menangani masalah itu.

Sementara itu, pemandu kereta api, Amir Amit berkata kereta api berkenaan bertolak dari Stesen Tanjung Aru pada jam 7.45 pagi dan apabila tiba di kawasan berkenaan beliau memperlahankan kelajuan.

"Bahagian kanan depan kereta api rasa bergoyang sedikit, seperti tersasar dari trek landasan. Saya terus memberhentikan kereta api dan keluar untuk melihatnya. Saya nampak satu tayar terkeluar daripada landasan," katanya.

Difahamkan kereta api itu kemudian dialih daripada landasan dan perkhidmatan tren Sabah tidak terjejas.
Kejadian itu adalah yang kedua tahun ini selepas insiden pada 19 Jun lalu yang meragut nyawa seorang pelancong Hong Kong selepas sebuah kereta sewa dirempuh kereta api di Jalan Petagas berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. - Bernama,

Tiada ulasan: