Rabu, 10 Julai 2013

Tahaluf siyasi terganggu jika PAS tidak dominan?




Oleh Ahmad Lutfi Othman 

Semasa menunggu pesawat untuk pulang ke Kuala Lumpur pagi Ahad lalu, selepas menghadiri Seminar Pemikiran Ustaz Fadzil Noor sehari sebelumnya di Alor Setar, saya diingatkan oleh seorang teman bahawa usaha untuk menarik PAS daripada Pakatan Rakyat tidak harus dipandang ringan.

Saya ketawa kecil mendengarnya. "Takkan sampai begitu sekali?" tanya saya, serius. "Ketua Pengarang patut lebih tahu," balasnya pantas. Saya mengesan wajahnya; dia juga serius. "Sukar nak percaya ada usaha mahu PAS undur ke belakang dan bertanding secara solo," saya tidak sempat meluahkannya. Dia sudah berjalan ke depan.

Mutakhir ini, banyak persoalan yang timbul, terutama berkaitan isu-isu dalaman parti, termasuk kerjasama dalam Pakatan, juga menyinggung hal-hal sensitif PAS, patut diselidik dan dipastikan kesahihan terlebih dahulu.

Terdapat trend atau kecenderungan yang agak negatif, sehingga perbincangan atau diskusi yang sepatutnya membawa penambahbaikan kepada parti telah tersasar jauh, apatah lagi jika menyangkut faktor-faktor kekalahan dalam PRU13 (atau ada yang menyifatkannya sebagai kemenangan yang tertangguh).

Sesekali apabila melayari media sosial, Facebook, saya tidak dapat mengelak daripada menatap komen-komen nakal, dan ada kalanya serangan peribadi yang agak melampau, sekali gus menyebarkan bahan-bahan fitnah atau 'fakta' yang boleh menimbulkan ketegangan atau permusuhan sesama sendiri. Ruang siber menjadi gelanggang terbuka wacana kritikal, yang bisa "mendedahkan segalanya".

Perbedaan pendapat, hatta membentuk "kumpulan" atau "pasukan" dalam parti, adalah lumrah dan tidak sepatutnya merungsingkan kita, terutama menjelang proses pemilihan kepemimpinan.

Ya, PAS kini sebuah parti besar, berkembang pesat dan mendapat perhatian istimewa masyarakat, selaras slogan "PAS for All". Walaupun mempunyai jumlah ahli Parlimen terkecil berbanding DAP dan KeADILan, tetapi  PAS tetap diakui parti paling tersusun, teramai keahlian, manakala aktivisnya lebih berdisiplin dan komited.

Sedihnya, perdebatan (untuk melonjakkan kemajuan parti) yang sepatutnya berlangsung secara beradab telah dicemari elemen hodoh di luar batasan, dengan bahasa kesat dan terperosok dalam jurang label-melabel. Ia juga terbuka kepada "acara londeh-melondeh".

Keterbukaan media menjadi gergaji bermata dua atau pisau yang boleh membunuh.

Walaupun saya yakin fenomena negatif ini masih terkawal dan lebih ramai yang rasional-waras, namun ia tidak boleh dipandang mudah, bukan hanya disebabkan mampu menggugat keutuhan parti ataupun membantutkan lagi kemenangan, tetapi dibimbangi dapat menghakis ciri-ciri unik gerakan politik Islam.

Apa pun, fikiran saya lebih terganggu dengan peringatan rakan saya tadi -- jika benar ada usaha untuk membawa PAS keluar Pakatan. Bagi saya, ia bukan saja langkah songsang ke belakang, malah mendedahkan kepada "kutukan" penyokong Pakatan yang memberikan sokongan kepada PAS dalam PRU13, dan lebih penting boleh memudarkan integriti Parti Islam.

AJK PAS Pusat, Khalid Samad, ketika membentangkan kertas kerja Tahaluf Siyasi: Ijtihad semasa, teori dan aplikasi, di Seminar Pemikiran Ustaz Fadzil Noor, mengemukakan beberapa persoalan menarik, khususnya mengenai kerajaan campuran dan kongsi kuasa Pakatan di Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

Di negeri-negeri berkenaan, kerajaan tidak dapat dibentuk oleh mana-mana parti secara bersendirian, tidak sepertimana realiti di Kelantan pada 1990 (Angkatan Perpaduan Ummah) dan Terengganu 1999 (Barisan Alternatif), apabila PAS berupaya menerajui kerajaan secara solo.

Lebih unik selepas PRU12 ialah situasi di Perak, Pulau Pinang dan Selangor; mungkin tidak pernah diduga sebahagian pemimpin PAS bahawa dapat berkongsi kuasa bersama DAP dan KeADILan.

"Bagi pimpinan seperti Dr Hasan Ali, bekerjasama dengan KeADILan dan DAP semasa pilihan raya merupakan perkara biasa, tetapi tidak sekali-kali pernah terlintas di pemikiran mereka bahawa PAS akan berkongsi kuasa dengan KeADILan, apatah lagi DAP, dalam dalam keadaan kerusi PAS adalah yang paling kurang," ujar Khalid, merujuk keputusan PRU 2008 di Selangor, PAS hanya memperoleh 8 kerusi, DAP, 13 dan KeADILan, 15.

Bagaimanapun, pada 2013, Pakatan bukan saja terus menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen, malah meletakkan BN sebagai kerajaan minoriti apabila undi popularnya hanya sekitar 47 peratus. Lebih istimewa di Selangor, bilangan Adun PAS bertambah menjadi 15.

"Memandangkan Tahaluf Siyasi PAS bersama KeADILan dan DAP melalui Pakatan memungkinkan keadaan kongsi kuasa tanpa 'PAS dominan', sama ada di peringkat Negeri atau Persekutuan, amatlah perlu untuk semua khususnya pimpinan PAS meyakini bahawa 'risiko yang sudah diperhitungkan' sememangnya telah benar-benar diperhitungkan dengan tepat dan teliti. Kita perlu yakin, dalam keadaan tidak 'dominan' sekalipun, PAS, dan dengan itu perjuangan Islam, tetap akan mendapat manfaat atau keuntungan," tegas Khalid.

Ahli Parlimen Shah Alam itu turut menjawab kebimbangan jika Pakatan dapat membentuk kerajaan dengan bilangan ahli Parlimen PAS paling kecil. Bagi saya, pandangan Khalid itu wajar ditelaah, termasuk oleh pihak yang mungkin mempunyai pendapat berbeda.   

Tiada ulasan: