Jumaat, 12 Julai 2013

Tabung Haji Layan Media Arus Perdana Saja


 

Oleh A Khadir Jasin

SEHINGGA saat ini, dasarnya adalah Lembaga Tabung Haji hanya memberi kenyataan kepada media arus perdana.”

Demikian jawapan seorang petugas bahagian perhubungan awam LTH kepada pertanyaan yang saya kemukakan melalui wartawan majalah Malaysian Business.

Maksudnya, LTH tidak melayan isu dan persoalan yang dibincangkan dalam media baru dan alternatif, termasuk blog.

Saya meminta wartawan saya menghubungi LTH kerana setelah menyiarkan komen pembahas bagi tampalan bertajuk “Lima Puluh Tahun Tabung Haji” (baca di sini), saya mendapati beberapa daripadanya memerlukan reaksi LTH.

Tetapi sahlah sekarang yang LTH tidak mempunyai dasar untuk berkomunikasi dengan media baru dan alternatif. Namun kita janganlah putus asa kerana adalah kewajipan kita meneliti perjalanan LTH dan menegur di mana patut.

Mereka tidak peduli tidak mengapa kerana seperti kata nenek moyang kita, ada ubi ada batas, ada hari boleh balas. Hari “pembalasan” bagi pemerintah di Malaysia datang setiap lima tahun sekali.

Saya mengucapkan terima kasih kepada pegawai LTH itu kerana menjawab e-mel Malaysian Business, tetapi mempertikaikan kebijaksanaan LTH hanya berkomunikasi dengan media arus perdana sahaja.

Saya tidak berani mengatakan yang LTH tidak sedar bahawa kebanyakan debat dan analisis kritikal yang berlaku hari ini mengambil tempat dalam media baru dan alternatif.

Wallahualam.
http://kadirjasin.blogspot.com

Tiada ulasan: