Selasa, 23 Julai 2013

SUPP: Mereka parti Cina, kami berbilang kaum

 


 
Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menolak penggabungan dengan MCA dan Gerakan atas alasan terdapat banyak halangan perlu diatasi dan juga perbezaan besar antara parti-parti tersebut.

"Ada beberapa halangan perlu diatasi jika kami bergabung dengan MCA dan Gerakan. Mereka parti Cina, sementara kami pula parti berbilang kaum," kata Presiden SUPP, Datuk Peter Chin Fah Kui.

Cakap-cakap tentang penggabungan itu mula muncul selepas prestasi buruk ketiga-tiga parti dalam pilihan raya umum baru-baru ini. Penggabungan itu juga telah dibincangkan seawal tahun 80-an lagi.

Chin, yang merupakan bekas menteri tenaga, teknologi hijau dan air mengakui pernah bertemu beberapa pemimpin MCA secara tidak rasmi sebelum ini tentang penggabungan itu.

"Kami cuma bercakap secara tidak rasmi. Kami belum terima sebarang surat dari MCA. Memandangkan ia dibincangnkan secara tidak rasmi, saya belum membangkitkan perkara ini dengan jawatankuasa kerja pusat parti," katanya.

"Secara peribadi saya rasa sukar untuk bergabung dengan MCA kerana terdapat beberapa halangan perlu diatasi.

"Namun, jika kita mahu melihat hubungan lebih erat di antara tiga parti berasaskan etnik Cina ini, adalah lebih baik untuk kita bentuk satu perikatan longgar bagi membolehkan situasi menang-menang untuk semua pihak berbanding satu penggabungan," tambahnya.

Tiada ulasan: