Sultan Ahmad Shah
Sultan Ahmad Shah
 
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah seakan sudah muak melayan kritikan negatif terhadap skuad Harimau Malaya terutama membabitkan kedudukan mereka dalam ranking dunia.

Menurut baginda, FAM sudah lali dengan pandangan-pandangan negatif itu, justeru baginda berharap Harimau Malaya menjadikan kritikan tersebut sebagai pembakar semangat untuk lebih berjaya pada masa akan datang.

Baginda juga bertitah bahawa beliau tidak pernah berputus asa dalam usaha menaikkan ranking negara bagaimanapun semua pihak yang berkepentingan dalam bola sepak negara perlu melipatgandakan usaha bagi memastikan ranking skuad Harimau Malaya tidak mengalami kemerosotan mendadak.

"Soal ranking, saya tahu ramai kecewa, marah dan berikan pelbagai komen. Namun, kita tidak boleh cepat berputus asa dalam usaha menaikkan ranking.

"Janganlah disebabkan ranking kita tidak begitu membanggakan, kita hendak berputus asa, sebaliknya kita perlulah berusaha keras.

"Saya sentiasa berpandangan positif pandangan segelintir pihak mengenai pasukan kita tetapi kita akan terus berjuang teguh di belakang pasukan kebangsaan," kata  baginda pada sidang akhbar selepas majlis berbuka puasa FAM bersama media di Hotel Hilton, Petaling Jaya, malam tadi.

Dalam laporan media tempatan semalam, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata ranking bola sepak dunia memainkan peranan penting bagi sesebuah pasukan kerana ia menjadi penanda aras terhadap kekuatan pasukan berkenaan.

Menteri itu turut menggesa FAM mencari pendekatan seimbang untuk memperbaiki ranking skuad Harimau Malaya termasuk memperbanyakkan perlawanan berstatus 'A' selain mengurangkan perlawanan persahabatan dengan pasukan kelab yang dilihat tidak begitu membantu menaikkan ranking skuad Harimau Malaya.

Mengulas lanjut, baginda memberitahu semua pihak bebas memberikan sebarang pendapat tanpa sebarang halangan.

"Saya tidak pernah melarang mana-mana individu untuk bersuara...Walaupun kadang-kala saya agak terasa, tetapi itu hak mereka. Apa pun, saya akan terus bertanggungjawab dan bekerja keras demi kebaikan bola sepak negara," jelasnya.

Berdasarkan ranking terbaru yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) awal bulan ini, skuad Harimau Malaya kekal di tangga ke-159, sama seperti kedudukan bulan lalu.

Sebagai rekod, pada Januari 2013, skuad Harimau Malaya menduduki tangga ke-158, Februari (159) Mac (164), April (163) dan Mei (161).