Ahad, 21 Julai 2013

SPIES Mampu Beri Motivasi Tambahan Kepada Pelajar


SPIES PSRA ceramah motivasi pelajar halimah 21 jul 02

KLANG : Rata-rata ibu-bapa berpendapat program Spiritual, Physical, Intelektual, Emosi dan Sosial (S.P.I.E.S) mampu membentuk sahsiah dan peribadi anak-anak untuk berjaya di masa hadapan.

Bagi bapa, Mohd Khairullah Mohd Shafie, 42, beliau berpendapat program motivasi anjuran SPIES mampu memberi keyakinan tambahan kepada pelajar yang menghadapi peperiksaan supaya memanfaatkan masa untuk belajar dengan bersungguh-sungguh.

“Kebanyakan anak-anak tidak tahu bagaimana teknik atau cara sebetulnya jika ingin berjaya. Jadi melalui program motivasi ini diterangkan kepada pelajar bagaimana cara sebetulnya jika ingin menjadi seorang insan yang berjaya,” katanya.

Beliau ditemui ketika menghadiri Program Mahabbah Ke Arah Kecemerlangan Anak-Anak Dunia Akhirat yang diadakan di Dewan Putra, Kampung Delek, Klang di sini hari ini.

SPIES PSRA ceramah motivasi pelajar halimah 21 jul 01

Program ini dianjurkan khusus kepada ibu-bapa, guru-guru serta para pelajar Sekolah Rendah Agama (SRA) yang bakal menghadapi ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) pada tahun ini.

Manakala seorang ibu, Fauziah Abdullah, 39, berkata program motivasi ini memberi faedah kepada dirinya tentang bagaimana untuk mendidik anaknya.

“Mungkin ramai yang kurang memberi tumpuan kepada aspek pendidikan rohani. Ini penting untuk membentuk sahsiah dan jati diri anak-anak supaya menjadi insan yang berguna.

“Jadi melalui program ini sedikit sebanyak saya dapat memahami bagaimana cara mendidik seseorang anak itu,” katanya lagi.

Program tersebut dirasmikan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Dr Halimah berkata anak-anak perlu diberikan kesedaran mengenai tanggungjawab yang akan dipikulnya terhadap diri sendiri, keluarga masa hadapannya.

“Anak-anak adalah hartawan yang sangat bernilai di masa akan datang jika dipupuk dengan cara yang betul.
“Oleh sebab itu Kerajaan Negeri sentiasa peka untuk melaksanakan pembangunan modal insan secara seluruhnya termasuk kepada anak-anak,” katanya.

Tiada ulasan: