Oleh Masdar Wahid
KUALA LUMPUR: Ahli parlimen Miri Dr Michael Teo Yu Keng menyelar sikap membisu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan agensi berkaitan berhubung permohonan sekumpulan orang Asal di Sarawak mendapatkan Kad Pengenalan (IC) di negeri itu.
“Bertahun-tahun orang Asal ini memohon IC. Bukan sahaja tidak diendahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), malah mereka dihina dengan pelbagai kata-kata kesat semasa mengemukakan permohonan.
“Lebih kurang ajar, cubaan Orang Asal meminta perhatian Najib yang tiba di Miri baru-baru ini langsung tidak dipedulikan,” kata Dr Michael (gambar) kepada Keadilandaily.
Beliau menjelaskan perkara tersebut pada sidang media di lobi Parlimen, baru-baru ini.
Michael menyifatkannya sikap dwi standard JPN terhadap orang Asal sebagai zalim dan tidak profesional dalam menguruskan hak rakyat.
“Adalah menjadi hak seseorang menyokong mana-mana parti sebagaimana dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Tugas pegawai JPN ialah memproses permohonan tanpa prejudis terhadap latar belakang pemohon,” katanya.
Sejak beberapa tahun, orang Asal termasuk kaum Penan yang memohon Daftar Lewat Sijil Lahir dipinggir kerajaan Sarawak walaupun Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengakui kumpulan itu adalah peribumi.
Sedangkan orang Asal sukar mendaftar IC sebaik dilahirkan kerana masalah pengangkutan dan penempatan mereka jauh di luar bandar selain kos pengangkutan yang tinggi.
Mereka terpaksa mengambil masa beberapa hari untuk tiba ke pekan atau bandar yang paling hampir.
Justeru, Teo mengumumkan minatnya untuk bertanding dalam pilihan raya Sarawak (PRN) akan datang bagi membantu Pakatan Rakyat menawan negeri terbesar di Malaysia itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan