Abdul Rahman Othman
  Ketua Pengarah ROS Datuk Abdul Rahman Othman
 
SHAH ALAM – Sebarang pertubuhan yang berhubung kait dengan Syiah tidak dibenarkan, tegas Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS), Datuk Abdul Rahman Othman.

Beliau berkata, pernah ada permohonan dibuat pengikut Syiah di ROS di Melaka tetapi ditolak.

“Apa-apa pertubuhan berkaitan dengan Syiah adalah tidak dibenarkan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Ketika ditanya, jika terdapat pertubuhan yang cuba mengaburi pihak ROS dengan menggunakan nama lain, Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak menolak perkara itu mungkin berlaku dan akan meneliti setiap permohonan terlebih dahulu.

Pada Rabu lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai pertubuhan haram.

Ketua setiausaha kementerian, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, berkata ia diputuskan oleh Menteri Dalam Negeri berpandukan Seksyen 5, Akta Pertubuhan 1966.

Abdul Rahim berkata, pengikut Syiah pernah memohon mendaftarkan pertubuhan mereka pada 18 Jun 2011, namun ditolak pada 4 Ogos tahun yang sama.