Khamis, 4 Julai 2013

'Selangor perlukan loji Langat 2, tapi...'



 
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Selangor sememangnya memerlukan loji rawatan air Langat 2 untuk membekal air di negeri itu, namun usaha sepatutnya ditumpukan untuk mengurangkan pembaziran air terawat.

Katanya, keperluan untuk loji Langat 2 itu juga bergantung kepada pertimbangan kos yang tidak harus membebankan rakyat.

Khalid berkata, masalah kekurangan air tidak akan berlaku di Selangor sehingga tahun 2014 memandangkan keperluan air di negeri itu hanya antara 3 hingga 3.5 bilion liter sehari.

Menurutnya lagi, daripada 34 loji rawatan air yang ada di negeri itu, pengeluaran air Selangor ialah 4.6 hingga 4.8 bilion liter sehari.

Katanya, pemegang konsesi air Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) perlu mengelakkan pembaziran sumber air terawat (NRW) sebanyak 30 peratus kepada 20 hingga 15 peratus bagi mengatasi sebarang krisis air.

"Pada dasarnya, kalau kesemua air yang kita rawat itu sampai ke kegunaan pengguna, tak ada masalah air dan masalah tak cukup air.

"Tapi masalahnya ialah 30 peratus daripada air yang dirawat iaitu NRW hilang masa pengagihan. Hanya dapat atasi dengan peratus NRW dikurangkan kepada 20 hingga 15 peratus seperti dalam perjanjian yang ditanda tangani dengan SYABAS.

"Dari penjelasan saya, (projek loji rawatan air) Langat 2 adakah perlu atau tidak, jawapannya perlu. Tapi dengan kiraan nilai ekonomi kepada negeri.

"Kita perlu jika harga yang akan diambil, dipersetujui dengan jangkaan kita kerana yang akan membayarnya ialah pengguna negeri Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan daripada Shahrum Mohd Sharif (BN-Dengkil) di Dewan Undangan Negeri di Shah Alam hari ini.

Tiada ulasan: