Khamis, 18 Julai 2013

Sebab Pulut Santan Binasa: Karpal Buat Laporan Polis Terhadap Tajuddin

 
KELAB GREENBOC
 
Pengerusi DAP Karpal Singh semalam membuat laporan polis terhadap Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berhubung kenyataan didakwa berbaur hasutan.

Karpal Singh, diiringi Penasihat DAP Lim Kit Siang, membuat laporan itu di balai polis Tun H.S Lee di sini pada kira-kira 12 tengah hari.

Beliau menggesa polis menyiasat Tajuddin mengikut Akta Hasutan kerana didakwa sebagai berkata di Kuala Besut, Terengganu pada 14 Julai lepas bahawa beliau (Karpal Singh) boleh menjadi presiden pertama Malaysia jika pengundi di Kuala Besut membenarkan DAP mengawal Putrajaya melalui PAS.

Pengundi di Kuala Besut akan mengundi pada 24 Julai dalam pilihan raya kecil untuk memilih Anggota Dewan Undangan Negeri berikutan kematian wakil rakyat mereka Dr A. Rahman Mokhtar dari Barisan Nasional (BN) pada 26 Jun lepas.

BN mempertahankan kerusi itu dalam pertandingan satu lawan satu dengan PAS.

Lim menyifatkan kenyataan Tajuddin sebagai semberono dan menghasut. - Bernama

Karpal buat laporan polis terhadap Tajuddin


Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh hari ini membuat laporan polis di Balai Polis Tun HS Lee berikutan kenyataan hasutan Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Tajuddin Abdul Rahman terhadap dirinya.

Beliau menegaskan, tindakan tegas harus diambil terhadap Tajuddin kerana mengeluarkan satu kenyataan berunsur serangan peribadi yang sama sekali tidak benar.

“Saya membuat laporan ini supaya satu siasatan polis secara menyeluruh dapat dilaksanakan dan beliau boleh didakwa di mahkamah di atas kelakuan jahatnya itu.

“Saya menggesa polis menyiasat Tajuddin mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, serta mengikut Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di luar Balai Polis Tun HS Lee, tengah hari tadi.

Seksyen 4 (1) menyatakan bahawa adalah satu kesalahan jenayah untuk mengeluarkan sebarang perbuatan, ucapan, perkataan, penerbitan dan lain-lain yang mempunyai kecenderungan menghasut. Jika sabit kesalahan, seseorang itu boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Tajuddin sebelum ini dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut memberi amaran kepada pengundi di sana dengan mendakwa Karpal akan menjadi Presiden pertama Malaysia jika DAP dibenar menerajui tampuk pemerintahan negara melalui PAS.

Karpal berkata, beliau percaya bahawa kenyataan itu mempunyai kecenderungan menghasut dan berunsur fitnah.

“Kenyataan seperti ini tidak sepatutnya dibenar dan digalakkan sama sekali dalam negara,” tegasnya.

Turut hadir menemani Karpal membuat laporan polis itu ialah Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen DAP Batu Kawan, Kasthuri Patto.

Kit Siang turut mengecam kenyataan itu yang dianggap sebagai tidak bertanggungjawab dan orang yang melakukannya tidak boleh terlepas daripada hukuman.

“Sebagai negara yang mengamalkan demokrasi, jentera keadilan negara bukan sahaja perlu adil tetapi dilihat adil di mata umum dan sesiapa saja yang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan seperti dilakukan Tajuddin mesti didakwa.

“Apa yang dilakukan Tajuddin itu adalah satu daripada beberapa siri kenyataan berunsur hasutan yang dibuat dalam tempoh enam minggu lalu,” ujarnya.
-Roketkini

Tiada ulasan: