Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
 
GEORGETOWN - Ketua Menteri, Lim Guan Eng menafikan kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya yang mendakwa beliau berjanji secara lisan untuk mengemukakan laporan mengenai isu doktor rasis.

Beliau berkata, kenyataan itu amat mengejutkan kerana tidak pernah berbuat demikian dan tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat dakwaan yang dibuat Adun Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin pada sidang Dun baru-baru ini.

“Tuntutan Dr Hilmi (meminta laporan dari kerajaan negeri) amat mengejutkan kerana ia  tidak benar sama sekali. Saya tidak pernah berjanji secara lisan atau bertulis untuk menyiasat dakwaan serius oleh Roslan kerana tidak mempunyai apa-apa kuasa.

“Dr Hilmi jelas tidak layak menjadi Timbalan Menteri Kesihatan jika tidak tahu bahawa hospital kerajaan adalah di bawah bidang kuasa pengawasan dan eksklusif Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Persekutuan, bukan kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dengan alasan itu, beliau telah menulis surat kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam dua minggu lalu untuk memintanya mengesahkan dakwaan itu.

“Sekiranya siasatan menunjukkan perkara itu benar, maka doktor yang terlibat perlu diambil tindakan kerana ia perkara serius namun jika sebaliknya, Roslan perlu memohon maaf kerana membuat tuduhan tidak berasas sehingga menjejaskan  reputasi dan imej semua doktor di Malaysia.

“Pada saya, kenyataan Dr Hilmi jelas menunjukkannya cuba untuk lari dari tanggungjawab dengan melepaskannya kepada kerajaan negeri sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan perlu tunggu laporan kerajaan negeri untuk membolehkan tindakan diambil," katanya.

Guan Eng berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat doktor di hospital kerajaan malah tiada perjanjian yang dibuat olehnya seperti yang didakwa.

Namun jelasnya, kerajaan negeri bersedia untuk menyiasat perkara itu jika Dr Hilmi sanggup menyerahkan kuasa penuh kepadanya.

"Saya juga ingin menjemput beliau datang ke pejabat saya pada 31 Julai ini untuk menunjukkan bukti bahawa saya telah membuat janji lisan atau bertulis.

"Selain itu, jika beliau mahu serahkan kuasa penuh kepada kerajaan negeri untuk menyiasat di hospital kerajaan, boleh juga buat pada hari yang sama.

“Saya tertanya-tanya,dengan kenyataannya itu, Adakah ini jalan keluar bagi Kementerian Kesihatan tidak menyiasat  perkara itu dengan menunding jari kepada kerajaan negeri pula” katanya.

Terdahulu, Dr Hilmi meminta Guan Eng mengemukakan laporan mengenai dakwaan doktor di Kepala Batas dan Seberang Jaya yang didakwa bersikap rasis seperti yang dijanjikan.

Dr Hilmi berkata, Kementerian Kesihatan sedang menunggu laporan daripada Guan Eng berikutan ada berjanji dengan Subramaniam pada sidang Parlimen baru-baru ini.