Oleh: Masdar Wahid
SHAH ALAM : Kerajaan Selangor memperuntukkan RM100,000 bagi menyelenggara dan membaikpulih lif rosak di empat blok Pangsapuri Desa Mentari, Petaling Jaya.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad berkata, peruntukan itu diberi selepas menerima aduan penghuni pangsapuri berkenaan yang terpaksa mengguna tangga hingga ke tingkat 18 akibat lif rosak.
“Kerajaan Negeri mengambil inisiatif membantu penduduk sebaik menerima maklumbalas daripada pemaju yang menyatakan pungutan penyelenggaraan pangsapuri itu tidak mencukupi.
“Penyelenggaraan dan membaikpulih semua lif akan mengguna peruntukan Skim Bantuan Baik Pulih Harta Bersama Pangsapuri (Ceria),” katanya dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di pejabat Menteri Besar hari ini.
Menurutnya, kerajaan Selangor sedia menimbang cadangan rakyat agar sebuah pasukan khas ditubuh bagi memantau, membaikpulih serta menyelesaikan masalah kerosakan lif di pangsapuri kos rendah seluruh negeri itu.
Pada 17 Julai lalu, seorang kanak-kanak berusia 11 tahun maut dengan lehernya hampir putus selepas terperosok di celah lif yang rosak di tingkat 3 Blok 8, di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) milik Kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun, dua hari selepas itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan menyatakan agar rakyat jangan menyalahkan kerajaan persekutuan ekoran kejadian itu walaupun masalah lif tidak diselenggara sering dibangkitkan rakyat di media sejak sekian lama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan