parlimen

KUALA LUMPUR - Selain isu pilihan PRU13 yang menghangatkan Dewan Rakyat apabila persidangan bermula 25 Jun lepas, kenaikan harga ayam ketika Ramadan dan Aidilfitri turut mencuri perhatian anggota parlimen.

Harga ayam di pasaran dilapor meningkat secara mendadak di beberapa negeri sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna.

Antara yang membangkitkan isu itu ialah Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) dan Datuk Mahfuz Omar (Pas - Pokok Sena) Rabu lepas, dengan Shamsul Anuar turut mempersoalkan kenaikan harga barangan lain walaupun pelbagai program dilakukan kerajaan untuk membendung perkara berkenaan.

Dalam jawapannya, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Senator Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah menegaskan kerajaan sentiasa berusaha memastikan kestabilan harga barangan keperluan harian demi kepentingan pengguna.

Mesyuarat pertama penggal pertama Parlimen ke-13 yang ditangguhkan pada Khamis lepas setelah 16 hari bersidang, turut menyaksikan anggota parlimen BN dan pembangkang sepakat bahawa tindakan tegas mesti diambil terhadap pihak yang mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan, terutama menerusi laman sosial seperti Facebook.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), ketika menyentuh isu itu, melahirkan rasa kesal dan hairan dengan peri laku sesetengah belia yang dilihat begitu semberono sehingga tidak lagi menghormati isu agama dan kaum.

Memperkatakan perkara sama, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan perlu diambil sebagai pengajaran kepada pihak lain.

Dalam pada itu, pihak pembangkang terus mempertikai kemenangan Barisan Nasional (BN) dan mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak telus dalam mengendalikan PRU13 pada 5 Mei lepas.

Ini termasuk kononnya pemimpin tertinggi SPR mempunyai kaitan dengan individu yang memiliki syarikat membekalkan dakwat kekal yang diguna ketika proses pengundian pada PRU13.

Bagi memberi keadilan kepada pihak SPR, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyarankan supaya Mohd Rafizi Ramli (PKR-Pandan) mengulangi dakwaan yang dibuatnya pada Selasa lepas itu di luar Dewan.

Sementara itu, beberapa muka baharu di Dewan Rakyat kali ini dilihat mampu menyesuaikan diri dan menonjolkan kredibiliti, sesuai dengan tanggungjawab yang digalas.

Antaranya ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, bekas tokoh korporat yang kemunculan pertamanya pada minggu kedua persidangan menerima pujian anggota parlimen lain, termasuk yang cuba menguji keupayaan beliau mengendalikan pertanyaan jawab lisan.

Dalam pada itu, orang lama yang kembali semula ke gelanggang Dewan Rakyat seperti Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh), didapati masih mampu memberi saingan kepada hujah pembangkang dalam sesi perbahasan.

Selepas empat minggu bersidang, Pandikar Amin melahirkan rasa puas hati terhadap penglibatan anggota parlimen baik daripada BN mahupun pembangkang yang menurutnya menampakkan kematangan ketika membahaskan isu-isu berbangkit.

"Mesyuarat penggal ini sedikit sebanyak telah mula menyaksikan bibit-bibit perubahan. Semoga transformasi ini akan terus dikekalkan pada sesi mesyuarat-mesyuarat akan datang untuk sama-sama kita memartabatkan Parlimen Malaysia sebagai sebuah institusi yang dibanggakan," katanya sebelum menangguhkan persidangan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. - Bernama