OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG RENCANA DAN ANALISIS
Analisis:
Kuala Besut di Terengganu mempunyai dua jenis penduduk utama, nelayan
dan kakitangan kerajaan. Kawasan ini terletak di perairan pantai Laut
Cina Selatan yang menjadikan kebanyakan penduduknya nelayan.
Pekan utama kawasan ini adalah Kampung Raja yang menjadi pusat pentadbiran untuk daerah Besut.
Kuala Besut terletak di jalan pantai antara Kuala Terengganu dan Kota
Bharu, Kelantan. Jalan utama pula melalui bandar Jertih yang menjadi
pusat komersial daerah Besut.
Hanya mereka yang memilih untuk menggunakan jalan pantai sahaja memilih untuk melalui jalan Kuala Besut.
Selain nelayan, penduduk di sini adalah kakitangan kerajaan kerana
banyak jabatan kerajaan terletak di Kampung Raja, pekan utama dalam
Kuala Besut. Antaranya termasuknya Bangunan Persekutuan Besut yang
terletak di sini.
Di bangunan ini terdapat Pejabat Imigresen, Kebajikan Masyarakat,
Kesihatan Bahagian Environmen Dan Kawalan Penyakit, Agensi Anti Dadah
Kebangsaan, Rela, Pembahagian PESAKA, Ukur Daerah Terengganu (UTARA),
Unit Pengambilan Tanah, Pelajaran Daerah, Kemajuan Masyarakat (KEMAS),
PERHILITAN dan Pejabat Amanah Ikhtiar Malaysia.
Kuala Besut juga adalah pekan pelancongan. Pulau Perhentian, antara
pulau terbaik di Terengganu kerana batu karang dan pantainya, juga
termasuk dalam kawasan pilihan raya ini.
Pulau Perhentian (besar dan kecil) diktiraf sebagai antara pusat
pelancongan terbaik kerana airnya yang bersih dengan ikan-ikannya yang
banyak. Ia dilindungi di bawah Pulau Redang Marine Park, bermakna tidak
boleh memancing dan menangkap ikan di sini.
Dengan komposisi penduduk yang semacam ini, ia menjadikan Kuala Besut
sentiasa menjadi kubu untuk Umno. Nelayan, pegawai kerajaan dan
operator pelancongan. Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa menjadikan
nelayan sebagai sasaran bantuan mereka. Tambah-tambah lagi dengan
pemimpin seperti Datuk Seri Idris Jusoh.
Begitu juga kakitangan kerajaan. Mereka terlalu terikat dengan
pemimpin kerajaan yang memerintah Terengganu. Begitu juga operator
pelancongan. Aktivis Islam sentiasa sahaja menyusahkan mereka.
Kawasan yang selama tenang ini bakal menjadi hingar bingar tidak
lama lagi. Ramai ahli politik akan datang ke Kuala Besut untuk berkempen
bagi pilihan raya kecil Kuala Besut ekoran kematian Ahli Dewan Undangan
Negeri (Adun) BN, Dr. A. Rahman Mokhtar.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai masa 60 hari untuk
mengadakan pilihan raya selepas ia dimaklumkan secara rasmi pada 28 Jun
lalu. Ini bermakna, SPR mempunyai masa hingga 28 Ogos 2013 iaitu 18 hari
selepas Hari Raya Aidilfitri yang dijangka pada 10 Ogos.
Dalam sidang media sebelum ini, SPR memberikan bayangan kemungkinan pilihan raya akan diadakan pada bulan puasa.
Namun dengan masa yang cukup lumayan, besar kemungkinan pilihan raya dan juga penamaan calon diadakan selepas hari raya.
Agak sukar untuk ahli politik berkempen di bulan Ramadhan di mana umat Islam akan berpuasa.
Tambah-tambah lagi apabila para pemimpin Umno sejak kebelakangan ini sudah bercakap banyak tentang Islam.
Bagaimana mereka mahu bebas berkempen kalau banyak pantang larang yang terpaksa mereka patuhi sepanjang bulan Ramadhan ini?
SPR juga mengumumkan penetapan tarikh pilihan raya kecil Kuala Besut akan diputuskan Jumaat ini.
Sejak dahulu, Kuala Besut menjadi kubu kuat Umno. Ketika tsunami
politik menyerang barulah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ini
bertukar tangan. Ia berlaku pada tahun 1969 dan juga 1999. Di kedua-dua
pilihan raya itu menyaksikan negeri Terengganu di perintah oleh PAS.
Kuala Besut mempunyai 17,713 pengundi. Ia terletak di bawah Parlimen
Besut yang diwakili oleh Idris, bekas menteri besar Terengganu yang kini
adalah Menteri Pelajaran 2.
Suka atau tidak, Besut dijaga dengan baik oleh Idris sejak beliau menjadi menteri besar lagi.
Mungkin kerana itulah, kesemua kerusi Parlimen dan DUN di bawah
Parlimen Besut dimenangi oleh BN dalam pilihan raya umum ke 13 (PRU13)
lalu.
Ia berlaku ketika PAS dan PKR hampir-hampir saja berjaya memerintah Terengganu dalam pilihan raya umum lalu.
PAS mendapat 14 kerusi DUN dan empat Parlimen manakala PKR mendapat
satu kerusi DUN manakala BN pula mendapat 17 kerusi DUN dan empat kerusi
Parlimen di Terengganu.
Sebagaimana negeri Terengganu, 98.71 peratus pengundi Kuala Besut
adalah orang Melayu. Hanya 0.8 peratus Cina, 0.08 India dan 0.42 peratus
kaum lain.
Dalam PRU13, PAS berjaya menawan hampir kesemua bandar utama di
negeri ini. Dari Chukai di Kemaman, Sura di Dungun, Kuala Terengganu dan
juga Kuala Nerus.
Akan tetapi, kemaraan PAS berhenti di Setiu dan Besut.
Namun di sebelah sempadan sana, PAS berjaya membentuk kerajaan dengan
majoriti yang lumayan di Kelantan. Kuala Besut adalah DUN sempadan
antara Terengganu dan Kelantan. Ia bersempadan dengan Parlimen Pasir
Puteh dan DUN Semerak di Kelantan.
Dalam pilihan raya lalu, Pasir Puteh kekal di tangan PAS melalui Dr
Nik Mazian Nik Mohamad (majoriti 1,888) namun DUN Semerak dimenangi olah
calon BN, Zawawi Othman (majoriti 985).
BN telah memutuskan timbalan pengerusinya yang juga Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengarah pilihan raya ini. PAS
pula akan memutuskan pengarahnya tidak lama lagi.
"Besar kemungkinan kita akan lantik Datuk Husam Musa, Naib Presiden
PAS sebagai pengarah," kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali. Bagi
beliau Husam orang yang paling sesuai kerana kawasan Kuala Besut dekat
dengan Kelantan.
"Peranan Kelantan sangat besar dalam pilihan raya ini," tambah Mustafa.
Husam adalah Pengerusi Jawatankuasa Roadmap to Putrajaya untuk PAS.
Namun, percubaan beliau untuk menawan Putrajaya dalam pilihan raya lalu
tidak berjaya. Akan tetapi beliau menang di DUN Salor, Kelantan.
Dengan Husam di pihak PAS dan Pakatan Rakyat (PR) manakala Muhyidin
di pihak Umno dan BN, pilihan raya ini dijangka hangat sebagaimana
hangatnya pertandingan merebut kerusi Putrajaya dalam PRU13 lalu.
Walaupun agar sukar, Mustafa, seorang veteran dalam selok belok
pilihan raya, yakin PAS boleh menang dalam pilihan raya kecil ini jika
kena dengan caranya.
Dengan PAS Kelantan yang mempunyai kerajaan, kempen pilihan raya ini
akan lebih menarik dan membuka peluang lebih luas untuk calon PAS.
Perlabuhan Perikanan Tok Bali di sebelah Kelantan bakal menjadi pancing
yang berguna untuk nelayan Kuala Besut.
Pengalaman Husam berkempen di Putrajaya juga bakal memberikan modal
yang besar dalam kempen kepada kakitangan kerajaan di sini. Begitu juga
pengalaman Kelantan dalam mengendalikan pelancong yang ramai datang ke
negeri itu bakal membantu kempen PAS ke atas operator pelancongan di
sini.
Jika PAS menang, DUN Terengganu akan menjadi 'DUN tergantung' kerana
bilangan wakil BN dan Pakatan sama banyak iaitu 16:16. Ada yang berkata,
kuasa Speaker yang dilantik BN akan menjadi kata pemutus.
Bagi Ketua Umno Bahagian Besut, Idris, PAS tidak akan boleh memerintah Terengganu walaupun parti itu menang dalam PRK ini.
Idris berkata, kelebihan satu kerusi speaker menghalang PAS memerintah negeri ini walau pun ditakdir parti itu menang.
Menurutnya, sekarang BN mempunyai kedudukan 18 kerusi termasuk satu
kerusi speaker, manakala pembangkang 15 kerusi dan kalau PAS menang PRK
kali ini, kedudukan masih 16-17.
Sekiranya pembangkang menangpun ia tidak memberi apa-apa keuntungan kepada mereka tetapi akan menyulitkan pembangkang.
Justeru, rakyat perlu terus mengundi BN kerana rakyat akan mendapat
manfaat yang besar, katanya selepas Taklimat Khas PRK DUN Kuala Besut di
Damai Beach Resort di Kampung Raja.
Pakar perlembagaan Dr. Abdul Aziz Bari menolak pandangan itu. Bagi beliau Sultan mempunyai budi bicara dalam hal ini.
Aziz Bari berpendapat, Sultan Terengganu boleh membubarkan DUN
sekiranya baginda tidak boleh memutuskan menteri besar yang sesuai, jika
BN dan Pakatan masing-masing menguasai jumlah kerusi yang sama banyak.
Tambah Abdul Aziz, dalam keadaan seperti itu, pelantikan menteri
besar boleh juga diputuskan oleh Sultan, yang boleh menggunakan
pertimbangannya sendiri.
Mengikut peruntukan perlembagaan negeri, yang serupa dengan
peruntukan dalam perlembagaan persekutuan, perkara itu tertakluk bawah
budi bicara Sultan.
Katanya di Terengganu, seperti juga negeri lain di Malaysia dan
negara-negara Komanwel, Sultan boleh melantik seseorang yang dirasakan
mendapat sokongan paling banyak dalam Dewan.
"Sekiranya Sultan tidak pasti, maka saya fikir baginda boleh membubarkan Dewan agar satu pilihan raya baru boleh diadakan.
Ini untuk membolehkan rakyat membuat keputusan dan bukannya baginda.
Dari sudut monarki sebagai simbol perpaduan yang perlu berada lebih
tinggi dari parti politik, mungkin ia pilihan yang lebih baik, katanya.
Apa-apa pun pilihan raya kecil pertama selepas PRU13 ini sangat
menarik. Ia bakal menentukan kedudukan sebuah negeri iaitu Terengganu
Darul Iman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan