Datuk Mahfuz Omar
Datuk Mahfuz Omar
 
SHAH ALAM – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat lebih jujur dan tidak “hipokrit” bagi berebut kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut berbanding jawatan Menteri Besar Terengganu itu sendiri malahan tuduhan mengatakan kenyataan itu sebagai “satu perangkap” adalah tidak berasas sama sekali.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi itu sebagai tidak memahami usaha Pas untuk mewujudkan politik baru di negara ini khususnya menjadi pembangkang yang kuat di negeri itu tanpa menjejaskan kedudukan BN sebagai Kerajaan Negeri.

“Kalau kami dapat Kuala Besut, kita tidak mahu jawatan Menteri Besar Terengganu, tapi kami mahu mewujudkan suasana politik baru di Malaysia, bermula dengan Kuala Besut dan Kerajaan Negeri Terengganu itu sendiri.

“Apabila Pas menjadi pembangkang yang kuat, peranan Pas akan lebih berkesan dan segala tindak-tanduk kerajaan negeri nanti, memerlukan rundingan dan persetujuan daripada pembangkang sebelum meluluskan sesuatu dasar dan projek pembangunan yang melibatkan dana awam,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Kelmarin, Ahmad Zahid mengingatkan pengundi PRK Dun Kuala Besut supaya tidak terpedaya dengan kenyataan Abdul Hadi yang berkata, Pas tidak mahu jawatan menteri besar adalah sebagai ‘perangkap’.

Ahmad Zahid berkata, adalah mustahil Pas tidak mahu menuntut jawatan itu sekiranya misi 16:16 dilancarkan dalam kempen PRK kali ini berjaya dicapai.

Sementara itu, mengulas kenyataan Zahid berhubung peruntukan beberapa projek pembangunan di Dun Kuala Besut yang diberikan selepas kempen PRK kawasan itu bermula, beliau menyifatkan BN sebagai sebuah kerajaan yang lemah dan tiada perancangan teliti dalam hal itu.

“Kenapa perlu pembangkang sebut (projek pembangunan), baru kerajaan nak beri, bermakna dia tak ada perancangan teliti, kenapa baru sekarang nak isytihar projek, ini menunjukkan kerajaan cukup lemah,” tegasnya.