sprm
SPRM
 
KUALA LUMPUR - Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli hari ini menegaskan bahawa statistik keberkesanan badan pengendali rasuah di negara ini masih di tahap rendah berbanding Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC).

Menurutnya, berdasarkan data jumlah maklumat yang diterima dalam tahun 2011 oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ialah sebanyak 6,475 manakala ICAC pula 4,010 dengan jumlah penduduk terkini Malaysia 28,600,00 manakala Hong Kong 7,173,900.

"Jumlah maklumat yang diterima oleh SPRM perkapita adalah jauh lebih rendah berbanding maklumat yang diterima oleh ICAC (satu pertiga dari maklumat yang diterima ICAC.

"Ini bermakna banyak kejadian rasuah masih belum dilaporkan kepada SPRM, sama ada berpunca dari persepsi rakyat yang tidak yakin keupayaan SPRM ataupun rakyat masih menerima perlakuan rasuah sebagai amalan biasa," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan menambah, keadaan ini menjadi salah satu sebab kenapa indeks persepsi rasuah (CPI) tidak meningkat walaupun pelbagai jalan diambil.

"Rakyat tahu di kalangan mereka masih banyak kes rasuah yang berlaku tetapi tidak diambil tindakan," ujarnya.

Menggulas lanjut mengenai perkara ini, beliau menjelaskan bahawa peratus tindakan yang diambil oleh SPRM adalah sebanyak 20 peratus daripada jumlah maklumat yang diterima.

"Perbandingan statistik di antara SPRM dan ICAC mengukuhkan lagi persepsi yang meragui keberkesanan SPRM apabila jumlah tindakan yang diambil apabila maklumat diberikan (dalam bentuk kertas siasatan dibuka) hanyalah 1,304 berbanding 6,475 maklumat yang diterima.

"Ini bermakna daripada setiap 5 maklumat berkenaan rasuah yang diberikan, hanya 1 yang berakhir dengan kertas siasatan dibuka. Ini jauh lebih rendah berbanding dengan kadar 77% tindakan diambil ke atas setiap satu maklumat yang disampaikan kepada ICAC," katanya.

"Angka-angka ini membuktikan stigma yang masih wujud dan menebal di kalangan rakyat yang meragui keberkesanan dan kebebasan SPRM dalam menjalankan siasatan," tambahnya lagi.

Sehubungan itu, Rafizi menggesa Senator Datuk Paul Low dapat mengambil langkah sewajarnya bagi menaikkan semula imej dan kepercayaan rakyat terhadap SPRM.