Setiausaha Pengelola DAP, Anthony Loke berkata, kos pengendalian PRU12 lima tahun lalu hanya menelan belanja RM200 juta berbanding PRU13 meningkat kepada RM400 juta walaupun jumlah pengundi meningkat 20 peratus sahaja.
Katanya, PRU13 yang melibatkan 222 Parlimen menunjukkan purata perbelanjaan untuk satu kawasan RM1.8 juta dan ia angka yang besar.
"Kalau kita lihat calon yang bertanding perlu menjalankan kempen lebih dua minggu, belanja untuk bahan cetakan, tenaga manusia yang ramai.. .ia hanya dihadkan perbelanjaan sebanyak RM200 ribu.
"Perbelanjaan yang SPR perlu tanggung hanya untuk hari penamaan calon dan pengundian.
"Adakah ini memerlukan RM1.8 juta untuk satu kawasan?," katanya pada sidang media, di Parlimen, di sini.
Minggu lalu, Loke meminta Perdana Menteri menyatakan butiran pecahan kos untuk SPR dan agensi kerajaan yang terlibat secara langsung mengendalikan PRU13.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim telah menjawab dengan menyatakan kos perbelanjaan PRU13 telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan sebanyak RM400 juta.
Antara pecahan perbelanjaan utama seperti elaun lebih masa sebanyak RM5.018 juta, sewaan pengangkutan, barung semak daftar pemilih, peralatan ICT, sewaan talian, telefon dan faks dan lain-lain sebanyak RM98.465 juta, bayaran perkhidmatan dan saguhati kepada semua petugas PRU adalah RM204.1 juta serta lain-lain perbelanjaan sebanyak RM93.354 juta.
Mengulas lanjut, Loke yang juga ahli Parlimen Seremban berkata, PRK di Permatang Pauh pada tahun 2008 hanya mencecah RM409,000 berbanding SPR membelanjakan wang hampir RM2 juta di setiap kawasan Parlimen.
"Saya pernah bertanding dua kali, tetapi saya belanja tak lebih RM200 ribu.
"Tapi kenapa ikut purata perbelanjaan SPR untuk mengendalikan PRU13 di setiap kawasan menelan RM1.8 juta?," katanya lagi.
Beliau juga menambah, SPR perlu mempunyai kesedaran wang yang dibelanjakan adalah hasil cukai yang dipungut daripada rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan