KUALA LUMPUR - Wakil pembangkang semalam telah mengemukakan usul menggunakan Peraturan Mesyuarat 36(12) bagi mengheret ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan ahli Parlimen.

Usul berkenaan difailkan kepada Speaker Dewan Rakyat kira-kira jam 4 petang ekoran kenyataan Teck Meng yang disifatkan sebagai mengelirukan Dewan.

"Kita mahu merujuk Simpang Renggam kerana beliau gagal menarik balik kenyataannya yang menuduh Datuk Seri Anwar memiliki 20 akaun bank di luar negara.

"Selepas pendedahannya Selasa lalu, kita sudah beri beliau tempoh selama 24 jam untuk buat penjelasan...tapi beliau gagal berbuat demikian," kata ahli Parlimen Jelutong, Jeff Oii pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Pada Selasa, Dewan Rakyat menjadi gamat selepas dikejutkan dengan dakwaan Teck Meng bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai 20 akaun bank di luar negara dengan jumlah simpanan mencecah USD66 juta (RM209 juta).

Menurut Teck Meng, maklumat yang diperoleh menerusi internet seperti yang didedahkan Wikileaks itu turut mendedahkan bahawa kesemua akaun berkenaan dibuka di Amerika Syarikat, Israel dan China yang lengkap dengan maklumat terperinci termasuk nama pemegang, jawatan, nombor pasport, jenis, nombor, tarikh akaun dibuka dan tarikh matang.

Anwar semalam menafikan perkara itu dengan berkata, hasil carian pihaknya, tiada data yang menunjukkan maklumat seperti itu di laman Wikileaks.