Khamis, 25 Julai 2013

Polis harap Hare Krishnan tampil beri kenyataan sebenar

MALAYSIA KINI


 
Polis Kuala Lumpur berharap Inspektor Hare Krishnan - suspek keempat dalam kes kematian dalam tahanan - N Dhamendran - tampil segera ke ibupejabat polis kontinjen Kuala Lumpur bagi membolehkan kenyataan sebenarnya direkod mengikut prosedur yang ditetapkan.

"Kehadiran beliau adalah penting bagi membolehkan beliau menjelaskan isu-isu sebagaimana yang beliau nyatakan di dalam laporan polis serta kenyataan media yang telah disiarkan," kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh.

Beliau menegaskan demikian dalam satu kenyataan petang ini sebagai mengulas laporan Malaysiakini yang memetik laporan polis Hare Krishnan yang mendakwa dia tidak bersalah tetapi diheret ke dalam kes tersebut untuk "melindungi pihak-pihak tertentu".

Mohmad berkata, Hare Krishnan sehingga ini masih gagal menghadirikan diri untuk kembali bertugas dan seterusnya membantu menyelesaikan siasatan berhubung kes kematian Dhamendran di lokap cawangan D9, Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur.

Pihak polis telah mendakwa Hare Krishnan gagal datang bertugas sejak 15 Jun.

Laporan polis itu dibuat oleh Hare Krishnan pada 1 Jun -  sembilan hari selepas kematian Dhamendran pada 21 Mei 21, dan dua minggu sebelum inspektor polis itu menyembunyikan diri.

Laporan tersebut, yang diperolehi oleh Malaysiakini, mendakwa bahawa Hare Krishnan tidak pun berada di lokap di Dang Wangi pada hari Darmendran meninggal dunia.

Dhamendran (kanan), 31, ditemui mati di dalam lokap polis 10 hari selepas dia  ditahan reman berhubung kes cubaan membunuh melibatkan senjata api.

Polis pada mulanya mendakwa dia telah meninggal dunia akibat kesukaran bernafas. Bagaimanapun, bedah siasat mendapati dia mengalami 52 kecederaan, termasuk dikokot di telinganya.

Menurut Mohmad lagi, tanpa kehadiran Hare Krishnan, segala laporan atau kenyataan yang dibuat oleh pegawai tersebut, bukan sahaja melewatkan proses siasatan, malahan turut gagal menegakkan keadilan sebagaimana yang dikehendaki oleh pegawai berkenaan dan pihak-pihak yang berkenaan.

Tiga suspek lain - anggota polis Jaffri Jaafar, 44; Mohd Nahar Abd Rahman, 45; dan Mohd Haswadi Zamri Shaari, 32 - telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh Dhamendran pada 5 Jun.

Tiada ulasan: