Ahad, 7 Julai 2013

Penganalisis: Pengundi Cina memang berpaling dari BN, Malaysia Timur penyelamat

Oleh Hasbullah Awang Chik

Pengundi-pengundi Cina sememangnya berpaling daripada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya 2013 lalu, akan tetapi Sabah dan Sarawak menjadi penyelamat kepada gabungan pemerintah itu kata Prof Dr James Chin.

Menurut Fellow Kanan di Institut Kajian Asia Tenggara (ISEAS) itu, belum pernah berlaku dalam PRU sebelum ini di mana BN kalah dalam undi popular walaupun masih mendapat majoriti kerusi-kerusi Parlimen.

“BN sudah hilang undi popular, Cina sudah berpaling daripada BN. Pilihan raya kali ini dibahagikan berdasarkan etnik dan kelas,” kata Chin semasa berucap di majlis Wacana PRU13: Pengaruh Media dan Implikasi Masa Depan.

“Tiada Malaysia Timur maka tiada kerajaan BN. Sebab itu, 20 menteri dan timbalan menteri dipilih dari Malaysia Timur,” tambah beliau lagi.

Chin berkata, parti dari Sabah dan Sarawak telah menyumbang kira-kira 35 peratus jumlah kerusi yang dimenangi BN dalam pilihan raya umum ke 13 (PRU13) lalu dan Parti PBB telah menyumbang 14 kerusi kepada BN.

Menurut Chin lagi, DAP merupakan parti terkuat dalam Pakatan Rakyat (PR) berdasarkan kepada keputusan Pilihan Raya 2013 lalu

“DAP merupakan parti yang paling berpengaruh berbanding PKR dan PAS yang menyusul dalam PR.
Kualiti calon pada masa kini dilihat sangat penting kerana orang ramai yang bersembang di kedai kopi sekali pun mula mempersoal kredibiliti calon yang bertanding dengan mempertikai ijazah yang dimiliki mereka,” katanya.

Sementara itu, James beranggapan PRU14 akan datang bakal menjadi sebuah pilihan raya yang menelan belanja bilion ringgit sambil membawa beberapa cadangan pembaharuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“SPR harus perbaiki reputasi buruk mereka dalam PRU13 lepas. Saya percaya jika ada kajian berhubung ketelusan SPR, pastinya badan itu sudah tidak dipercayai lagi.

“Persempadanan pilihan raya dan pendaftaran pemilih secara otomatik perlu dipertimbangkan agar pilihan raya dilihat lebih adil. SPR juga harus melantik ahli profesional yang layak menjalankan pilihan raya.
Chin turut mencadangkan sistem pilihan raya Malaysia diubah oleh kerana ini sudah biasa dilakukan di luar negara.

“Fiji sendiri telah dua kali mengubah sistem pilihan raya mereka. Kita harus melihat profil negara yang tidak jauh berbeza dengan negara kita agar perjalanan pilihan raya dapat diperbaiki,” tambah Chin.
Dalam pilihan raya 5 Mei lalu, BN menang tipis dengan 133 kerusi Parlimen berbanding PR yang mendapat 89 kerusi.

Walau bagaimanapun, PR menang undi popular memperolehi sejumlah 50 peratus atau 5,623,984 berbanding BN sekadar 47 peratus, atau 5,237,699 undi popular dalam Pilihan Raya 2013.

Tiada ulasan: