Mohd-Abdul-Wahid-Endut
Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut
 
KUALA TERENGGANU – Pas bersedia menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut  bila-bila masa sahaja dan tiada masalah sekiranya berlangsung dalam bulan puasa.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata, Pas tidak menganggap ia bebanan sekalipun umat Islam berpuasa ketika itu.

“Kita tidak kira bulan puasa atau tidak bulan puasa. Kita akan teruskan perjuangan kita. Rasulullah pada bulan puasa pun berperang, perang Badar berlaku dalam bulan puasa. Tiada masalah untuk kita, insya ALLAH, bulan puasa lagi semangat,” katanya di Pejabat Perhubungan Pas Terengganu, kelmarin.

Sementara itu, beliau yang juga Adun Wakaf Mempelam menolak persepsi pihak tertentu yang melihat Pas seakan-akan ghairah mendapat kemenangan di Dun Kuala Besut walaupun mereka kalah dengan majoriti cukup besar pada PRU13 lalu.

Beliau menjelaskan, Pas mengambil peluang berdasarkan ruang yang ada berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar, 26 Jun lalu.

“Bukan soal ghairah, soalnya PRK. Kita rasa kita ada ruang untuk bertanding. Soal majoriti berapa, itu pengalaman saya (bertanding) di PRK Parlimen Kuala Terengganu. Walaupun dalam pilihan raya umum (PRU) kita kalah tetapi PRK kita menang kerana suasana pilihan raya umum dan PRK dua keadaan yang berbeza,” katanya.

Beliau berharap, dengan tumpuan sepenuhnya yang diberikan semua pihak kepada PRK Dun Kuala Besut, Pas mampu mengulangi kejayaan sebagaimana diperoleh dalam PRK Parlimen Kuala Terengganu pada 2009.

Sementara itu, beliau memberitahu menerima panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas dari pelbagai pihak yang menyatakan kesediaan membantu Pas pada pilihan raya kecil ini.

“Kalau ditakdirkan menang, insya ALLAH kedudukan kerusi berubah dan apa berlaku selepas itu, kita akan tengok,” katanya.