Ahad, 7 Julai 2013

PAS mahu cabar sejarah, BN mahu kekal tradisi



Oleh Zulkifli Sulong
 
Jika PAS menang dan mereka membuat usul undi tidak percaya kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang ada ahli 16:16. Apa yang berlaku ketika itu? 
 
Inilah yang menyemarakkan semangat ahli dan penyokong PAS seluruh negara dalam konteks pilihan raya kecil (PRK) DUN Kuala Besut.

Mereka mengajak penyokong dan pengundi di Kuala Besut berfikir suasana itu - suasana politik yang tidak pernah berlaku di Malaysia.

Pendapat itu dikongsi bersama dua tokoh PAS di Besut, tokoh veteran PAS, Datuk Husin Awang  yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu.

Husin adalah bekas Speaker DUN Terengganu ketika PAS memerintah negeri itu antara 1999 hingga 2004.

Selain itu, Wan Azhar Wan Ahmad , 48; Yang Dipertua PAS Besut yang disebut-sebut antara nama yang bakal disenarai sebagai calon PAS.

Pandangan itu agak selaras kerana sehari sebelum wawancara ini, mesyuarat penyelarasan PRK Kuala Besut peringkat negeri Terengganu diadakan di Markas Besar PRK Kuala Besut di Kampung Baru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai sebagai hari pengundian untuk PRK manakala 20 Julai hari pembuangan undi awal. 12 Julai pula ditetapkan sebagai hari penamaan calon.

PRK itu diadakan ekoran kematian Adunnya yang juga Exco kerajaan negeri Terengganu, Dr A. Rahman Mokhtar selepas 50 hari terpilih untuk kali kedua sebagai Adun.

Pada pilihan raya umum lalu, BN mendapat 17 kerusi manakala PAS dan PKR yang menjadi sekutu dalam Pakatan Rakyat memperoleh 15 kerusi.

Dengan kematian Dr A. Rahman, Adun BN tinggal 16 sahaja, berbeza satu kerusi dengan Pakatan dalam DUN yang mempunyai 32 anggota.

Sebelum ini, Ketua Umno Bahagian Besut yang juga Menteri Pelajaran 2, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata BN tidak akan membenarkan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) untuk memerintah Terengganu.

Beliau berkata, jika PAS menangpun, DUN tetap kekal dikuasai BN kerana mereka ada satu undi lagi iaitu Speaker lantikan BN.

Apa berlaku jika Adun PAS membuat usul undi tidak percaya kepada Speaker? Ketika itu, speaker yang dilantik BN tidak boleh mengundi kerana ia usul ke atasnya," kata Wan Azhar.

Bekas guru yang bertugas di Sabah dan pulang ke Besut kira-kira 10 tahun lalu, itu menyifatkan ia memberi semangat kepada jentera PAS untuk memastikan PRK itu dimenangi mereka.

"Semua mahu PAS menang untuk lihat apa berlaku apabila dalam DUN ada 16 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN dan 16 Adun Pakatan," katanya.

Calon-calon

PAS Besut dan Terengganu menyenarai tiga nama untuk dipertimbang sebagai calon iaitu bekas Adun Kuala Besut (1999) yang juga Setiausaha Majlis Syura, Datuk Nik Zawawi Salleh; Yang Dipertua PAS Besut, Wan Azhar Wan Ahmad manakala seorang lagi, Bendahari PAS Besut, Azlan Yusof.


Daripada 13 pilihan raya umum (PRU) dan satu PRK di Kuala Besut, PAS menang empat kali iaitu PRU 1959, PRU 1969, PRU 1974 dan PRU 1999.

Umno pula dikatakan menyenarai dua nama popular untuk PRK itu. Bekas Kadhi Besut, Nik Suhaiza Nik Ismail dan AJK Umno Bahagian Besut, Zahanapi Sagaf.

Anak bekas Adun Kuala Besut dan Exco Terengganu yang berpengaruh juga disebut-sebut menjadi calon PRK berkenaan.

Saya yakin, kalau anak dia masuk senarai, dia akan dapat," kata Azmi Mohamad, 58, seorang penduduk Pulau Perhentian - antara kawasan dalam DUN Kuala Besut.



Azmi sudah 30 tahun menetap di pulau pelancongan yang terkenal di seluruh dunia itu. Beliau kenal sangat dengan tokoh politik yang bertukar ke ahli perniagaan itu.

"Sebut saja apa perniagaan di Besut, semuanya melibatkan bekas tok wakil itu," katanya, menambah tumpuan utama mereka ialah pembangunan hartanah dan pelancongan.

Melalui perkongsiannya dengan seorang tokoh perniagaan Cina di Besut, ia menghasilkan gabungan yang sangat hebat - wang dan pengaruh politik.

"Orang lain tak boleh buat bangunan tiga tingkat dari batu di atas pulau tetapi dia dapat. Bahkan jeti ke Long Beach juga di depan bangunan mereka," katanya menceritakan pengaruh bekas ahli politik itu.

Jika anak bekas Adun Kuala Besut itu menyertai PRK, ia bakal menjadi lebih menarik lagi.

PAS bersemarak untuk membina satu sejarah baru di Malaysia manakala BN pula memiliki individu berpengaruh untuk mengekalkan kuasa sebagai pentadbir daerah pelancongan bertaraf dunia.M/Insider

Tiada ulasan: