SHAH ALAM : Pemimpin Pakatan Rakyat tidak yakin dengan pengumuman terbaru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan siasatan agensi itu terhadap Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Ini kerana dakwaan bahawa Abdul Taib dan keluarganya terlibat dengan rasuah dan salahguna kuasa telah dibuat daripada dahulu lagi dengan pelbagai pendedahan media dan laporan polis.
Terbaru adalah video yang dibuat NGO Global Witness pada Mac lalu yang memaparkan saudara Abdul Taib yang cuba menjual tanah di Sarawak kepada aktivis NGO itu yang menyamar sebagai pelabur asing.
Malangnya, Ketua Menteri itu berkata beliau tidak akan bekerjasama dengan SPRM apabila agensi itu mahu memanggilnya untuk siasatan.
Setiausaha Publisiti, Anthony Loke Siew Fook berkata sehingga kini Abdul Taib tidak dikenakan sebarang tindakan.
“Tidak ada keyakinan terhadap SPRM dalam siasatan ke atas Taib kecuali ada tindakan pendakwaan dilakukan,” katanya melalui Sistem pesanan ringkas (SMS) selepas diminta mengulas isu itu.
Akhbar TheStar hari ini melaporkan bahawa SPRM sedang meneliti 400 fail dan merakamkan kenyataan daripada lebih 20 individu berkaitan kes terhadap Abdul Taib.
SPRM di dalam satu kenyataan berkata agensi itu tidak pernah berhenti menyiasat Abdul Taib dan telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi siasatan itu.
Siasatan itu dipercayai merujuk kepada pendedahan yang dibuat di dalam video Global Witness itu.
Sementara itu, Angkatan Muda PKR Sarawak mendesak SPRM supaya memanggil Abdul Taib bagi membuktikan agensi itu betul-betul serius di dalam siasatannya.
“Kita mahu dia dipanggil untuk disiasat. Beliau adalah saksi utama. Kita tidak mahu hanya fail-fail yang disiasat.
Beliau turut mempersoalkan ‘kesukaran’ untuk memanggil Abdul Taib tetapi begitu mudah memanggil orang lain jika hanya rakyat biasa.
“Apakah negara ini mempunyai dua undang-undang? Kalau kita lihat apabila kes melibatkan rakyat biasa, tidak sampai seminggu SPRM sudah panggil, tetapi Taib tidak.
“Kita melihat jawapan SPRM ini sebagai satu dolak dalih dan perbuatannya sebagai sandiwara. Hingga ke hari ini, jawapan yang dberikan cuma sandiwara untuk menutup perkara sebenar dari pengetahuan rakyat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan