Oleh Azuan Abd Rahman
KUALA LUMPURAI: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mengusulkan Rang Undang-undang Hasutan (Pemansuhan) 2013 bagi menggantikan Akta Hasutan 1948.
Ia berikutan kegagalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menunaikan janji untuk memansuhkan akta tersebut setahun lalu.
Najib pada 11 Julai 2012 mengumumkan keputusan kerajaan untuk menguatkuasa serta merta semua akta baru dan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional.
“Rang Undang-undang untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 ini telah saya hantar ke pejabat Setiausaha Dewan Rakyat semalam,” kata Nurul Izzah pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Naib Presiden KEADILAN itu berharap langkah berkenaan dapat menamatkan era penyalahgunaan Akta Hasutan 1948 sekaligus membawa islah dan reformasi tulen di Malaysia.
“Malangnya rakyat masih ternanti-nanti perlaksanaan kata-kata Datuk Seri Najib yang membuat pengakuan bahawa akta itu dianggap umum sebagai alat kerajaan untuk merencatkan tindakan dan pandangan yang tidak sealiran dengan kerajaan,” katanya.
Beliau merujuk penahanan Haris Ibrahim, Tian Chua, Tamrin Ghafar, Adam Adli dan Datuk Husam Musa yang didakwa mengikut akta itu berhubung penganjuran Himpunan Black 505.
“Pendakwaan yang dikenakan ke atas mereka adalah terpilih tetapi (bekas hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Noor Abdullah, Datuk Ibrahim Ali dan Utusan Malaysia yang meniup api kebencian dibiarkan tanpa sebarang tindakan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan