Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pelantikan enam pengerusi Umno negeri yang baru yang telah diputuskan dalam mesyuarat majlis tertinggi parti itu hari ini.

Mereka ialah Datuk Seri Shahidan Kassim (Perlis), Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir (Kedah), Datuk Seri Noh Omar (Selangor), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Wilayah Persekutuan), Datuk Idris Haron (Melaka) dan Datuk Seri Mohd Khaled Nordin (Johor).

Pengerusi Umno negeri yang dikekalkan ialah Datuk Seri Mustapa Mohamed (Kelantan), Datuk Seri Ahmad Said (Terengganu), Datuk Zainal Abidin Osman (Pulau Pinang) dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (Perak), Datuk Seri Adnan Yaakob (Pahang), Datuk Seri Mohamad Hasan (Negeri Sembilan) dan Datuk Seri Musa Aman (Sabah).

Najib yang bercakap kepada pemberita selepas itu juga mengumumkan nama timbalan pengerusi Umno seperti berikut:

* Perlis - Azlan Man
* Kedah - Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah
* Kelantan - Datuk Awang Adek Hussin
* Terengganu - Datuk Seri Idris Jusoh
* Pulau Pinang - Datuk Seri Dr Hilmi Yahya
* Perak - Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah
* Pahang - Datuk Mohd Shamsudin shakar
* Selangor - Abdul Shukor Idrus
* Wilayah Persekutuan - Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin
* Negeri Sembilan - Datuk Shaziman Mansor
* Melaka - Datuk Wira Ahmad Hamzah
* Johor - Datuk Seri Dr Ahmad Latif
* Sabah - Datuk Seri Salleh Said Keruak

Menurut Najib, Majlis Tertinggi Umno juga bersetuju supaya pengurusan Umno Sungai Petani dan Padang Serai bahagian di Kedah, dikembalikan kepada bahagian masing-masing.

Ia ekoran permintaan Jawatankuasa Badan Perhubungan Umno Kedah supaya Ketua Bahagian Sungai Petani, Ali Yahya dan pemangku ketua bahagian Padang Serai, Halim Hassan diamanahkan tanggungjawab tersebut.

Umno bahagian Sungai Petani bermasalah sejak 2010 manakala Padang Serai pula mulai awal tahun lalu, yang memaksa pengurusannya diambil alih oleh ibupejabat parti negeri.- Bernama