TINGGAL dua hari sahaja lagi akan berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut, kerusi panas pertama yang menjadi rebutan selepas PRU13.
Penulis yang sudah berkampung di Kuala Besut sejak minggu lalu dapat merasakan debaran yang kian memuncak menantikan detik bersejarah ini.
Walaupun cuaca agak kering ditambah pula dalam bulan Ramadan, sisa masa yang tinggal ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh jentera BN dan PR bagi memastikan kempen mereka berjaya menawan hati pengundi tanpa mengenal siang dan malam.
Namun sepanjang pemerhatian penulis di sini, seperti sudah menjadi trend, BN menggunakan waktu siang untuk berkempen dan bertemu pengundi manakala PR pula lebih senang 'beroperasi' di malam hari.
BN nampaknya benar-benar menggunakan tagline "Laut Kuala Besut Bertambah Biru" dan menggunakan sepenuhnya masa di siang hari untuk beramah mesra bersama pengundi.
Sinar Harian Online dapat melihat bot-bot yang dipasang bendera BN membiru menghiasi pesisir pantai dan sesekali membelah lautan membawa bendera keramat parti itu.
Sepanjang tempoh berkempen ini, BN dilihat agresif memberikan pelbagai tawaran menerusi pengarah pilihan rayanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri kepada pengundi.
Ketua Penerangan dan Publisiti BN, Datuk Ahmad Maslan juga telah menyatakan parti itu mempunyai strategi yang tersendiri untuk berkempen.
"Kita ada strategi kita sendiri mahu berkempen, kita tak perlu nak adakan ceramah sehingga ke malam seperti parti yang satu lagi (Pas)," katanya baru-baru ini.
PR pula yang lebih gemar menggunakan pentas ceramah untuk menyampaikan mesej mereka memilih waktu malam untuk memancing undi.
Malam yang sunyi di kampung-kampung Kuala Besut menjadi riuh dengan suara-suara pemimpin PR yang hadir ke kawasan itu menyampaikan ceramah.
Pengarah PRK Kuala Besut, Datuk Husam Musa berkata, Pas akan menggunakan masa malam sepenuhnya untuk menyampaikan ceramah walaupun ada masa waktu siang turut berkempen.
Katanya, pendekatan Pas berbeza dengan BN dalam proses memancing undi rakyat.
"Kita akan berkempen, sampaikan maklumat.
"Kita tak akan ikut cara BN, kita sampaikan maklumat biar rakyat yang fikirkannya sendiri," katanya pada satu ceramah yang diadakan di Kg Air Terjun, di sini.
Pas yang sinonim dengan gelaran bulan mengambang menggunakan sepenuhnya lambang itu bagi menerangi malam-malam mereka di Kuala Besut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan