KOTA KINABALU - Mahkamah Tinggi menetapkan 17 Julai sebagai tarikh untuk memutuskan sama ada pihak pendakwa mempunyai kes prima facie terhadap anggota Cawangan Khas Lahad Datu Detektif Koperal Hassan Ali Basari, yang dituduh menyembunyikan maklumat tentang kegiatan pengganas.
  
Hakim Ravinthran Paramaguru juga akan membuat keputusan sama ada tertuduh perlu membela diri.
  
Pihak pendakwa dalam perbicaraan kes Hassan Ali menutup kesnya hari inidengan mengemukakan hujah ia mempunyai cukup bukti untuk mempercayai bahawa anggota polis itu menyembunyikan maklumat tentang kegiatan pengganas.
  
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan mengemukakan tiga perbualan telefon yang dipintas dan bil yang menunjukkan tertuduh telah berhubung dengan pengganas Filipina yang melakukan pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari.
  
Beliau berkata saksi terlindung kedua pihak pendakwa, yang memintas tiga perbualan telefon itu, memberi keterangan bahawa tertuduh dihubungi seorang lelaki Sabah untuk memberi keterangan tentang kejadian berkaitan pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan pengganas Filipina di kampung Tandou pada 1 Mac, yang meragut nyawa dua komando VAT 69.

Kata Nordin, saksi berkenaan dapat mengecam suara Hassan Ali berdasarkan beberapa perbualan telefon yang beliau pintas, di mana tertuduh memperkenalkan dirinya.
  
Satu lagi perbualan telefon yang dipintas antara Datu Agbimudin Kiram, yang mengetuai pencerobohan itu, dan anak saudaranya Datu Amir Bahar, menunjukkan Datu Amir Bahar menghubungi tertuduh, yang memberi maklumat tentang pergerakan pasukan keselamatan Malaysia.
  
Nordin berkata berdasarkan komunikasi yang dipintas itu, tertuduh menggunakan dua nombor untuk menghubungi pengganas.
  
Katanya saksi Abdul Rahman Othman, seorang eksekutif di Celcom Axiata Bhd, memberi keterangan bahawa satu daripada nombor telefon itu - 0195800155 didaftar atas nama tertuduh, manakala nombor 0138888359 didaftar atas nama Mohd Esham Hassan, yang dikenal pasti pegawai penyiasat DSP Ang Seow Aun sebagai anak tertuduh.
  
Nordin berkata berdasarkan keterangan Abdul Rahman, bil telefon menunjukkan berlaku komunikasi antara dua nombor itu dan nombor 0142847213, yang menurut saksi SAC Zulkifli Abd Aziz, bekas timbalan ketua Cawangan Khas Sabah, adalah kepunyaan Datu Agbimudin, yang beliau peroleh daripada saudara lelaki Datu Agbimudin dikenali sebagai Datu Ismail, yang Zulkifli temui di sini pada tahun lepas.

Pihak pendakwa juga mengemukakan hujah bahawa pada Januari, tertuduh diberi amaran oleh saksi terlindung pertama bahawa 1,500 anggota Pasukan Diraja Sulu akan berkumpul di Pulau Simunul, di selatan Filipina, untuk memasuki Sabah.
  
Nordin berkata saksi itu memberi keterangan bahawa beliau terdengar maklumat itu daripada perbualan 20 lelaki berpakaian berwarna oren berbelang dengan perkataan 'Royal Sulu Force' tertera pada pakaian mereka, di Pulau Bongao, selatan Filipina.
  
Pihak pendakwa juga berkata tertuduh tidak melaporkan maklumat tentang kegiatan keganasan pada majlis taklimat tentang pencerobohan itu di pejabat Cawangan Khas Lahad Datu sedangkan dia mempunyai peluang untuk berbuat demikian.
  
Hassan Ali menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan itu antara Januari dan 3 Mac di Pejabat Cawangan Khas Lahad Datu.
  
Tertuduh, yang diwakili peguam Kamarudin Mohamad Chinki dan Ram Singh, boleh dikenakan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
  
Pihak pendakwa memanggil 18 saksi dalam perbicaraan dari 24 hingga 28 Jun itu. - Bernama