A Kadir Jasin
A Kadir Jasin.
 
MENGULAS dalam tampalan yang lalu, pembahas “drlangitbiru penang” berkata: “Datuk tak berminat ke nak ulas PRK Kuala Besut?”

Berminat, tetapi oleh sebab saya tidak mengikutinya dari dekat saya hanya boleh mengulas berpandukan apa yang saya baca dalam media arus perdana (MAP) dan media alternatif.

Kalau ikut penilaian MAP, Barisan Nasional (Umno) akan mengekalkan Dun Kuala Besut dengan kemenangan besar – sama seperti yang mereka ramalkan untuk PRU 5 Mei lalu.

Tetapi kalau kita ikut sejarah pilihan raya kecil Terengganu, BN tidaklah boleh terlalu yakin. Pertama, BN pernah hilang kerusi kepada Pas dalam PRK di Terengganu dan yang kedua Pas mengukuhkan kedudukan di Terengganu dalam PRU lalu.

Tidak sampai setahun selepas PRU 2008, Ahli Parlimen BN Kuala Terengganu, Razali Ismail, meninggal dunia. Allahyarham menang PRU 2008 dengan kelebihan undi 628 saja.

BN meletakkan Wan Ahmad Farid Wan Salleh, orang kanan Perdana Menteri waktu itu (Tun Abdullah Ahmad Badawi). MAP menguar-uarkan kemenangan besar bagi BN. Dia kalah kepada calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut, dengan defisit undi sebanyak 2,631.

Tidak mustahil hal yang sama berlaku di Kuala Besut pada 24 Julai ini. Cuma kelebihan undi bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) BN, Allahyarham Dr A. Rahman Mokhtar, adalah besar. Dia memperoleh 8,809 undi manakala calon PAS, Napisah Ismail, mendapat 6,375, memberikan majoriti 2,434.

Apa Yang Tersirat Di Sebalik Kenyataan Khairy

Apa yang menjadikan PRK Kuala Besut menggiurkan adalah kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, bahawa keputusannya kritikal bagi BN dan Perdana Menteri.

Semua sudah tahu yang Mohd Najib menghadapi tekanan hebat sebagai PM dan Presiden Umno setelah gagal memperbaiki prestasi BN dalam PRU 5 Mei lalu. Malah pencapaian beliau lebih buruk daripada Abdullah pada tahun 2008.

Walaupun Umno menang lebih banyak kerusi Parlimen, tetapi Mohd Najib tidak berjuang atas landasan nasionalisme Melayu dan Islam sebaliknya atas nama 1Malaysia dan “Sokong Saya Undi BN” serta menjulang pengundi Cina dan India sebagai penyelamat BN.

Jadi kalau ada cabaran dalam pemilihan agung Umno akhir tahun ini, kedudukan Mohd Najib terancam. Selepas Almarhum Tunku Abdul Rahman Putera pada tahun 1969, Mohd Najib adalah PM dan Presiden Umno paling lemah dalam sejarah pasca PRU.

Berbalik kepada kenyataan Khairy yang dilaporkan secara meluas oleh media alternatif tetapi tidak oleh MAP, saya menganggapnya sebagai mengandungi makna yang mendalam.

Kita tentu masih ingat bahawa Khairy berada di sisi Abdullah apabila bapa mertuanya diasak meletakkan jawatan setelah gagal mempertahankan suara dua pertiga dalam PRU 2008 dan terpaksa berundur tidak lama setelah BN kalah dalam PRK Kuala Terengganu.

Kekalahan BN dalam PRK Kuala Terengganu mengukuhkan tuntutan penentang Abdullah agar beliau meletakkan jawatan. Abdullah meletakkan jawatan pada 3 April 2009.

Dr M Sokong Tiada Pertandingan

Cuma elemen yang menyegerakan pengunduran Abdullah pada tahun 2009 mungkin tidak wujud lagi sekarang atau, kalau ada pun, tidak sekuat dulu.

Antaranya:

1. Banyak blogger Umno yang mementang Abdullah dan menuntut pengundurannya telah berubah menjadi pro-Najib;

2. Tun Dr Mahathir Mohamad yang pada tahun 2009 menentang Abdullah habis-habisan dengan bantuan Muhyiddin Yassin kini berpendirian jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan;

3. Muhyiddin pula dikatakan "tidak berminat" mencabar Mohd Najib kerana “sudah penat” dan tidak mahu dilihat sebagai tidak setuju dengan semua PM;

4. Boleh jadi juga tindakan "menutup pintu" pertandingan itu terbit daripada kebimbangan akan muncul pencabar lain, misalnya Tengku Razaleigh. Walaupun Ku Li seangkatan dengan Dr Mahathir, beliau masih cergas dalam politik dan menjadi tempat banyak pihak meminta nasihat dan mengadu nasib;

5. Justeru itu, apa yang dua watak ini (Dr Mahathir dan Ku Li) kata di belakang tabir akan memberi kesan kepada kedudukan Mohd Najib. Cuma Dr Mahathir dan Ku Li mungkin tidak sekata untuk menyingkir Mohd Najib;

6. Banyak wakil rakyat Umno, khasnya dari Sawarak dan Sabah, diketahui telah “berunding” dengan Ku Li, cuma bekas Naib Presiden Umno itu mungkin tidak mempunyai sumber (manusia dan wang) untuk melawan jentera Mohd Najib yang kaya sumber; dan.

7. Harapan Umno berubah kepada yang lebih baik melalui pemilihan kepimpinan tahun ini adalah tipis. Umno mungkin berubah hanya jika atau apabila kalah dalam PRU. Wallahualam.