Mesyuarat cawangan Umno yang berlangsung di seluruh negara sejak 15 Julai lepas berjalan dengan baik mengikut perlembagaan parti, kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata berdasarkan laporan yang dibentangkan pada mesyuarat bersama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin petang tadi, mesyuarat 20,000 cawangan parti itu diadakan mengikut jadual walaupun semasa bulan Ramadan.

"Ada cawangan yang bermesyuarat selepas solat Tarawih dan pada hari minggu. Alhamdulillah semua berjalan dengan baik dan tiada masalah," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa peringkat Parlimen Titiwangsa di Masjid Ar-Rahimah di Kuala Lumpur.

Tengku Adnan, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, berkata beliau yakin semua cawangan Umno akan selesai bermesyuarat sebelum 31 Ogos ini.

Ditanya mengenai Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno esok, Tengku Adnan berkata mesyuarat itu antara lain akan menetapkan tarikh bagi mesyuarat peringkat bahagian parti.

Selain itu, katanya mesyuarat MT itu juga akan membincangkan mengenai Lab Politik Barisan Nasional (BN) yang melibatkan 96 profesional, anggota politik dan golongan muda.

Terdahulu, Tengku Adnan dalam ucapannya meminta semua pihak pengurusan masjid di Wilayah Persekutuan supaya memantau aktiviti penyebaran ajaran Syiah yang semakin aktif terutamanya di kawasan bandar.

"Saya mahu semua masjid berhati-hati dan tidak membenarkan sebarangan orang memberi ceramah di masjid. Jangan kita biarkan akidah umat Islam terpesong," katanya.

Pada majlis itu juga, Tengku Adnan menyampaikan sumbangan RM10,000 untuk kerja menaik taraf masjid berkenaan, yang berusia lebih 40 tahun.

Beliau turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri dan duit raya kepada 200 Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas, anak yatim dan fakir miskin dari sekitar kawasan Parlimen Titiwangsa.- Bernama