Wartawan Buletin
Ini kerana, Menteri Besar (MB) Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said sendiri yang berjanji kepada rakyat sebanyak 300 unit Pangsapuri Kos Rendah akan dibina di Kuala Besut sekiranya Barisan Nasional mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke 13.
Bahkan, Ahmad turut membuat pengumuman rasminya meluluskan pembinaan 50 buah unit rumah pangsa kos rendah secara percuma kepada penduduk penempatan PPRT Pangkalan Atap yang terlibat dengan masalah ombak besar itu di lokasi baru yang lebih selamat.
Sebaliknya, 300 unit Pangsapuri tersebut kini terbengkalai dan tidak dapat disiapkan hingga terjadi seperti projek ‘gajah putih’.
MB Terengganu membuat janji-janji manis tersebut selepas menyampaikan wang bantuan kepada 48 mangsa air pasang dan ombak besar di penempatan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Pengkalan Atap dan Dana Bantuan Pakaian Sekolah, 14 Januari lalu.
Tinjauan Harakah mendapati projek perumahan Pangsapuri yang terletak di Kampung Kuala Besut tersebut terbengkalai serta tidak terurus.
Seorang penduduk yang enggan disebut namanya mendakwa pemimpin Umno-BN Besut berjanji kepada anak muda pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu untuk mengagihkan Pangsapuri tersebut.
Katanya, sejumlah 3,000 orang dalam Dun Kuala Besut ini ‘dijanjikan’ rumah tersebut sedangkan hanya 300 unit yang disediakan.
“Kami (penduduk) terutama anak-anak muda telah dijanjikan rumah di Pangsapuri ini dengan syarat menangkan calon Umno-BN di Dun Kuala Besut ini. Persoalannya, kenapa sampai 3,000 orang dijanjikan sedangkan rumah ada 300 unit sahaja,” soal beliau yang menjadi antara pemohon Pangsapuri terbabit.
Hadir sama pada majlis tersebut ketika itu, bekas Ahli Parlimen Besut, Dato’ Seri Dr Abdullah Md Zin, mantan Pengerusi Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut, Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar, Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad, mantan Adun Jabi, Ramlan Ali dan Pegawai Daerah Besut A Rahim Jusoh.
Sementara itu, Pengarah Jawatankuasa Induk PRK Dun Kuala Besut, Dato’ Husam Musa berkata Kuala Besut perlukan perubahan dan pembangunan.
Katanya, Terengganu adalah sebuah negeri yang kaya raya tetapi keadaan penduduk di Kuala Besut masih ramai yang miskin.
Ini bermakna, kata Dato’ Husam, kekayaan hasil Petroleum sejak lebih 20 tahun lalu tidak berjaya mengubah masyarakat di Kuala Besut.
“Kuala Besut ini perlukan perubahan dan negeri Terengganu adalah begitu kaya sekali tetapi keadaan di Kuala Besut didapati masih ramai penduduk yang miskin. Ini bermakna, kekayaan hasil Petroleum lebih 20 tahun dulu tidak berjaya mengubah masyarakat di sini,” ujarnya kepada pemberita di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya (PRK) N1 Kuala Besut, Dewan Serbaguna Kompleks Rakan Muda, Daerah Besut.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor mendakwa kerajaan BN Terengganu sengaja mengabaikan pembangunan di Kuala Besut kerana menganggap rakyat tetap menyokong BN.
Namun, kata Dato’ Husam, senario politik Terengganu akan berubah jika PAS berjaya memenangi PRK ini dengan menambah 16 kerusi Dun.
“Kenapa ini berlaku, kerana kerajaan Barisan Nasional menganggap jika tidak ada perubahan (pembangunan) pun rakyat tetap masih sokong mereka (BN).
“Tapi, kalau PAS menang (PRK) kali ini dengan ada 16 kerusi dalam Dun Terengganu segala-galanya akan berubah. RM1.8 bilion duit royalti setiap tahun akan digunakan sebaik-baiknya, Insya’Allah,” ujarnya.
Menurutnya, pelbagai isu masyarakat setempat tidak selesai dan kerajaan Umno-BN terus berjanji setiap kali pilihan raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan