THE MALAYSIAN INSIDER
Tepat
jam 12 tengah malam tanggal 23 Julai, berakhirlah kempen penyokong dan
jentera parti politik yang bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
Kuala Besut.
Mereka kemudian 'bersatu' di bawah satu bumbung sambil menikmati juadah
di sebuah gerai ikan bakar berhampiran Jeti Kuala Besut.
Zul Ikan Bakar sinonim dengan masyarakat tempatan dan menjadi tumpuan
pengunjung Kuala Besut lantaran keunikan ikan bakar yang dibalut daun
pisang dan kerajang timah, selain dibakar menggunakan rempah rahsia.
Tinjauan The Malaysian Insider selepas tempoh kempen berakhir
mendapati penyokong dan jentera parti Barisan Nasional (BN) dan PAS
berehat dengan menikmati hidangan ikan bakar di gerai berkenaan.
Berbeza situasi ketika tempoh berkempen yang agresif dan penuh
mengkritik antara satu sama lain, penyokong dan jentera parti kedua-dua
parti, dilihat aman apabila berdepan pelbagai juadah.
Malah, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar juga dilihat berada di
lokasi berkenaan baru-baru ini selepas berceramah di pentas Pemuda
Kampung Tok Saboh.
Penyokong dan jentera BN memakai baju tertera lambang BN dan 1
Malaysia, dilihat bersama-sama penyokong dan jentera PAS yang berbaju T
hijau tertera perkataan 16:16, selain berkopiah putih.
Zul Ikan Bakar beroperasi selepas selesai solat sunat Terawih sehingga jam 2 pagi.
Malah, gerai di pinggir jalan itu juga penuh pengunjung yang menikmati
ikan bakar, selain hidangan Maggi Ketam yang juga sinonim dengan Kuala
Besut.
Ia menjadi tumpuan bukan sahaja kerana menjadi lokasi ke Pulau
Perhentian, pulau ke-12 tercantik dunia, tetapi disebabkan PRK yang
pertama selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13)
Kuala Besut memiliki 17,683 pengundi berdaftar dan bakal membuang undi mulai jam 8 pagi ini.
BN meletakkan Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, seorang jurutera di
Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) manakala PAS mengharapkan
kemenangan Che Long, kontraktor ternama yang terkenal gemar membantu
penduduk tempatan.
Tepat jam 10 malam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan keputusan rasmi PRK Kuala Besut.
Kerusi itu sebelum ini milik BN apabila penyandang, Dr A Rahman Mokhtar
menang majoriti 2,434 undi mengalahkan calon PAS pada PRU13.
Ekoran itu. kerusi berkenaan dianggap kritikal kerana BN kekurangan
satu kerusi selepas menang 17 kerusi DUN berbanding 15 milik Pakatan
Rakyat, dengan 14 dari PAS manakala satu milik PKR.
Ketika BN cuba mengelak kedudukan 16;16 kerusi, PAS giat berkempen
mendapatkan satu kerusi tambahan bagi mewujudkan situasi 'DUN
tergantung'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan