Ketua Pemuda Umno Kedah, Badrulhisham Hashim berkata, mencabar penyandang sekarang Khairy Jamaluddin Abu Bakar bukanlah satu idea yang baik kerana beliau seorang pemimpin yang banyak berjasa dengan mengembalikan kepercayaan orang muda terhadap Umno.
“Soal cabar mencabar ini akan buat ‘orang’ terasa hati, jadi lebih baiklah sebagai pemimpin kita memberi tumpuan gerak kerja untuk mengekalkan momentum pilihan raya umum akan datang.
“Apa salahnya kita memberi ruang kepada Khairy untuk terus menerajui kepimpinan Pemuda. Beliau seorang yang berwibawa dan ia sudah terbukti apabila Perdana Menteri sendiri menzahirkan kepercayaannya dengan melantik Khairy sebagai menteri,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Badrulhisham bagaimanapun tidak menyekat sesiapa sahaja yang mahu bertanding merebut jawatan itu sejajar dengan amalan demokrasi negara.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Perlis, Mohsin Yusoff melahirkan rasa hairan terhadap saranan Pemuda Umno Johor yang mahu jawatan itu dipertandingkan secara terbuka yang seolah-olah lebih bersifat peribadi.
“Saya hairan kenapa jawatan ini nak direbut sedangkan banyak lagi perkara yang perlu difikirkan sekarang seperti memberi tumpuan kepada mesyuarat cawangan dan sayap parti supaya lebih efisien
“Kami Pemuda Perlis menyokong penuh kepimpinan Khairy Jamaluddin,” katanya ringkas sambil enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut.
Khairy memenangi kerusi Ketua Pemuda Umno selepas mengisi kekosongan yang ditinggalkan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada tahun 2008.
Namun minggu lalu Pemuda Umno Johor menggesa supaya semua jawatan dalam pergerakan itu terbuka untuk dipertandingkan pada pemilihan parti kali ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan