Ahad, 21 Julai 2013

Gabung tiga parti Cina BN tidak selesai masalah, kata penganalisis

Oleh Rita Jong

Rancangan untuk menggabung ketiga-tiga parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak akan mengembalikan sokongan ataupun menawan semula pengundi Cina, kata penganalisis politik.

Penganalisis berpendapat masalah utama MCA, Gerakan dan SUPP yang mengikis keyakinan pengundi mereka ialah kebencian ketara terhadap BN dan sikap tunduk kepada Umno.

Penganalisis politik, Dr Lim Teck Ghee, berkata cadangan penggabungan itu berpunca dari 'kesempitan' dan cubaan terakhir untuk kekal relevan dalam arena politik.

 "Bagaimanapun, penggabungan bukanlah jawapan kepada pengundi Cina mahu dari parti mereka. Pengundi mahu parti yang berdiri memperjuang hak dan bercakap bagi pihak mereka.

"Pemimpin ketiga-tiga parti juga dilihat lebih berminat untuk mengekalkan agenda sendiri dan kuasa," katanya dan menambah, pengundi Cina mengharapkan keadilan dan janji kesaksamaan ditunaikan.

"Kontroversi terkini melibatkan pendidikan universiti, jelas menunjukkan kelemahan dan ketakmampuan ketiga-tiga parti itu untuk memperjuang hak masyarakat Cina," katanya.

Beliau merujuk laporan media membabitkan beberapa pelajar bukan Melayu terbaik yang tidak mendapat tempat dalam universiti tempatan untuk belajar perubatan dan lain-lain kursus yang popular.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim, Suffian pula percaya ketiga-tiga parti politik itu mungkin menjadi lebih berkuasa dalam BN jika penggabungan berlaku.

"Cadangan penggabungan sedikit terlewat. Kurang sokongan di kalangan pengundi Cina bukan kerana bantahan pengundi ke atas MCA, SUPP dan Gerakan sahaja," katanya.

Sebaliknya, beliau percaya peralihan pengundi Cina menunjukkan tahap hilang kepercayaan ke atas BN secara keseluruhan.

Sementara itu, pemimpin Pakatan Rakyat (PR) membayangkan langkah itu pasti berdepan halangan besar lantaran falsafah politik berbeza antara mereka.

"Ia tidak akan jadi mudah bagi ketiga-tiga pihak untuk bergabung. Mereka perlu menjawab kepada akar umbi, punca mengapa mereka mahu bergabung.

"Bagaimana mereka kendalikan aset parti? Adakah MCA bersedia melepaskan matlamat mereka berjuang untuk kaum Cina dan menjadi parti berbilang kaum?

"Siapakah yang akan jadi Presiden 'parti baru' ini? Chua Soi Lek? Peter Chin?" kata Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok merujuk pemimpin semasa MCA dan SUPP.

Pengarah Strategi DAP, Dr Ong Kian Ming juga percaya usaha penggabungan itu terlewat memandangkan setiap parti politik memiliki struktur berbeza.

Sebagai contoh, MCA sebuah parti berasaskan kaum Cina manakala dua parti lain mempunyai kecenderungan berbilang kaum tanpa mengira ahli bukan Cina, dalam struktur kepimpinan.

Tiada ulasan: