Jumaat, 12 Julai 2013

Hukuman rasuah SPRM lebih berat berbanding undang-undang syariah, kata Jamil Khir

THE MALAYSIAN INSIDER
 
Hukuman rasuah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 lebih berat jika dibandingkan dengan hukuman di bawah undang-undang syariah di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar) berkata hukuman atau penalti bagi kesalahan memberi atau menerima suapan seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 24 Akta SPRM 2009 lebih tinggi berbanding hukuman di bawah undang-undang syariah.

"Ini jelas menunjukkan bahawa hukuman bagi jenayah rasuah lebih tinggi berbanding dengan hukuman yang boleh dilaksanakan di bawah undang-undang syariah yang berkuat kuasa di negara ini," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab cadangan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) yang menyarankan supaya kesalahan rasuah dimasukkan dalam undang-undang syariah.

Jamil Khir berkata, di bawah Akta SPRM 2009, hukuman atau penalti bagi kesalahan memberi atau menerima suapan apabila disabitkan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan. - Bernama,

Tiada ulasan: