Rabu, 17 Julai 2013

Harga Ayam Naik : Menteri Minta Ubah Selera, Rakyat Terus Tertekan


harga-daging-ayam

SHAH ALAM  : Kenaikan harga ayam di pasaran ketika ini terutama menjelang sambutan Aidilfitri mengundang resah di kalangan rakyat Selangor yang merasa terbeban dengan isu tersebut.

IMG_0990
Malah saranan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hassan Malek supaya orang ramai ‘menukar’ selera kepada menu lain seperti ikan dan daging dalam usaha mengekang kenaikan harga ayam, tidak boleh diterima kerana kerajaan sewajarnya mengelak kenaikan harga itu.

Seorang peniaga di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Johari Josi, 40, berkata, jika dibandingkan dengan negara lain, rakyat Malaysia adalah di antara yang teramai mengemari dan memilih ayam sebagai makanan pilihan.

“Jadi untuk memboikot dan menukar selera kepada makanan lain, bagi saya sukar. Sebelum membuat kenyataan, saya harap menteri bertanya atau meninjau dulu pendapat orang ramai.

IMG_0998
“Semacam ada pihak yang mengambil kesempatan dalam isu ini.
Saya harap kerajaan memantau harga ayam selain mengurangkannya kerana tidak lama lagi masyarakat Islam iaitu majoritinya orang Melayu akan merayakan Aidilfitri pastinya ayam akan dibeli dengan banyak,” katanya kepada TVSelangor di sini hari ini.

Seorang pengguna dari Sungai Buloh, Musral Dharno, 50, menjelaskan kenaikan harga ayam sukar diterima dan ia memberi tekanan kepada orang ramai untuk berbelanja.

Katanya, kerajaan Persekutuan perlu bertindak segera menangani masalah itu sebelum ia menjadi semakin sukar kepada rakyat.

“Ia bebankan rakyat. Saya harap harga ayam diturunkan kembali macam biasa. Saya yakin orang ramai yang lain juga susah untuk bertukar selera kepada makanan lain. Harga ikan dan daging pun lebih kurang mahal juga,” kata bapa kepada empat anak itu.

Peniaga pakaian, Nurul Abdul Rahman, 27, turut sependapat dengan mengatakan ayam adalah makanan kegemarannya.
“Nak tukar kepada makanan lain, susahlah memang tak boleh. Saya mesti makan ayam.

IMG_0992
“Bila harga naik, memang jadi beban kepada saya. Saya harap harganya turun macam biasa tambahan nak Aidilfitri ni. Saya rasa orang lain pun suka ayam mungkin menteri pun suka,” katanya.

Hasaan dalam laporan media mengajak orang ramai ‘menukar’ selera daripada memakan ayam kepada menu lain seperti ikan dan daging sebagai usaha mengekang kenaikan harga ternakan itu.

Beliau berkata langkah itu dianggap perlu memandangkan terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dengan menaikkan harga ayam sewenang-wenangnya.

Harga ayam sebelum ini di sekitar RM6.50 hingga RM7.00 naik mendadak melebihi RM7.50 iaitu RM8.00 hingga RM9.00.

Tiada ulasan: