Sabtu, 27 Julai 2013

Harga ayam naik kerana gaji naik dan bukannya kurang bekalan, kata penternak ayam

OLEH RANJIT SINGH

Harga jualan ayam di Pasar Seri Setia, Petaling Jaya antara RM8.50 hingga RM9 sekilogram walaupun harga siling RM7.80. - Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 27 Julai 2013.Harga jualan ayam di Pasar Seri Setia, Petaling Jaya antara RM8.50 hingga RM9 sekilogram walaupun harga siling RM7.80. - Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 


















Harga ayam yang mencatatkan peningkatan baru-baru ini disebabkan susut nilai ringgit, peningkatan gaji dan peningkatan kos makanan ayam. Tetapi, ia bukan disebabkan kekurangan bekalan, kata sekumpulan penternak kepada The Malaysian Insider.

Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Jeffrey Ng berkata peningkatan kos menyebabkan harga ayam meningkat meskipun ahli persatuan meningkatkan pengeluaran ayam kepada 11.9 juta ekor secara mingguan pada bulan ini berbanding 10.7 juta ekor setiap minggu pada Julai 2012.

“Pengeluar ayam menghadapi masalah berganda apabila kos makanan ayam import meningkat iaitu 60 peratus kos pengeluaran dan susut nilai ringgit.

 “Kos seekor ayam meningkat kepada RM5.12 sekilogram pada Julai tahun ini berbanding RM4.67 sekilogram pada Julai 2012,” jelas Ng dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insider di Kuala Lumpur minggu ini.

Beliau berkata, situasi bertambah meruncing dengan pelaksanaan gaji minimum RM900 sebulan yang diwajibkan kerajaan pada tahun ini.

“Ahli FLFAM sebelum ini membayar gaji seorang pekerja di ladang ternakan purata RM600 sebulan dan gaji baru meningkat 50 peratus termasuk elaun,” katanya.

Beliau menjelaskan, harga ayam di pasar basah bergantung kepada upah memotong ayam dan membuang kulit ayam. Harga runcit ayam meningkat kepada RM9 sekilogram bulan ini daripada harga sebelumnya RM6 hingga RM6.50 sekilogram pada pertengahan Jun.

Ng berkata, Akta Persaingan dan Akta Anti Pencatutan 2011 diwujudkan bagi mengawal industri daripada mengambil kesempatan kenaikan harga semasa bulan puasa dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Harga ayam ditentukan oleh jumlah permintaan dan bekalan namun di pihak pembekal, kami  meningkatkan pengeluaran apabila terdapat lebih permintaan. Adakah ada pernah mengalami situasi di mana kurangnya bekalan ayam di pasar besar atau pasar basah?” katanya.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mencadangkan untuk mengimport ayam dan mencadangkan pengguna untuk memboikot daging mentah berkenaan sementara harga ditetapkan menjelang musim perayaan.

Semalam, harga ayam ditetapkan kepada RM7.70 sekilogram bagi tempoh 17 hari.

Ng berkata, ahli FLFAM berpuas hati dengan harga yang ditetapkan oleh kerajaan bagi mengawal harga ayam daripada terus melambung.

Namun, Presiden Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk N Marimuthu, berkata isu kenaikan harga ayam adalah isu yang sering dimainkan menjelang musim Ramadan.

“Fomca tiada kaitan dengan kenaikan harga ayam dan kami percaya peningkatan harga semasa musim perayaan adalah perkara biasa yang disebabkan oleh pertambahan permintaan.

“Pengguna sebenarnya mempunyai alternatif. Mereka yang tidak mampu menanggung harga ayam di pasar basah boleh mendapatkan bekalan ayam di pasar besar,” katanya kepada The Malaysian Insider

Tiada ulasan: