Jumaat, 19 Julai 2013

Dr M hormati pendirian Perkasa ambil sikap berkecuali


Oleh Mohd Farhan Darwis

Tun Dr Mahathir Mohamad menghormati pendirian Perkasa untuk tidak memihak kepada mana-mana parti politik termasuk Barisan Nasional (BN).

Bekas perdana menteri yang juga penaung kepada kumpulan hak Melayu itu dilihat menyokong pendirian itu ketika retreat pasca Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Rabu.

“Tun tidak cakap banyak, dia hanya mendengar dan bersetuju dengan pendirian Perkasa itu,” kata Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali (gambar) kepada The Malaysian Insider.

"Perkasa ambil keputusan untuk mengamalkan dasar berkecuali sekarang ini, berbanding menyokong kerajaan sangat sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir meminta Perkasa supaya bertindak bijak dalam usaha mereka untuk mempertahankan kepentingan Melayu.

“Tun minta kami buat perancangan dengan betul dan strategi yang tepat supaya tidak merugikan kuasa politik Melayu,” katanya mengulas mengenai pertemuan yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Pertemuan dengan bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu diadakan selepas Perkasa membuat keputusan dua minggu lalu untuk memikirkan semula hubungan dengan Umno berikutan kerajaan meminggirkan mereka.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali menyelar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana terlalu memberi muka kepada kumpulan-kumpulan yang “memberontak melawan kerajaan.”

Ibrahim merujuk kepada tindakan kerajaan untuk mendekati Kumpulan Hak Asasi Hindu (Hindraf) dan kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong.

Menurut Syed Hassan, pertemuan itu memutuskan, mulai saat ini, Perkasa hanya akan bekerjasama dengan kumpulan yang memperjuangkan hak Melayu dan agama Islam.

"Kita berbincang dengan Tun, biar mereka (ahli Perkasa) putuskan. Kita belum sampai tahap untuk mengarahkan ahli mengundi parti tertentu. Kalau mereka hendak sokong PAS pun boleh, Umno pun boleh, janji Melayu, Islam," katanya merujuk kepada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut dan menambah Perkasa mempunyai 1,000 ahli di situ.

Beliau mengakui persepsi awam berpendapat Perkasa adalah kumpulan tajaan Umno, tetapi tanggapan itu tidak benar.

"Kalau mereka betul-ahli ahli Umno buat apa mereka sertai Perkasa. Ahli Perkasa 50 (peratus) Perkasa 50 (peratus) dengan Umno, majoritinya sertai Perkasa atas 'semangat Perkasa'," katanya.

Tiada ulasan: