Rabu, 24 Julai 2013

Detektif mengaku tak lapor bertulis kehadiran 'Datu Piah'

MALAYSIA KINI


 
Anggota polis, Detektif Koperal Hassan Ali Basari yang dituduh menyembunyikan maklumat mengenai kegiatan pengganas di Lahad Datu, awal tahun ini hari ini mengaku di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bahawa dia mengetahui kehadiran Datu Piah, seorang daripada adik-beradik Jamalul Kiram III, di Lahad Datu pada 13 Februari lepas.
  
Hassan Ali berkata pada hari itu kira-kira jam 4 petang, dia dihubungi sumbernya bernama 'Saluan Bin Bawa' bahawa Datu Piah tengah minum di restoran India dekat bangunan Ambank, pekan Lahad Datu.
  
"Saya terus pergi ke sana dan berjumpa dengan seorang tua yang mungkin Datu Piah. Saya bertanya apa tujuan datang ke Kampung Tanduo. Dia menyatakan bahawa tujuan mereka adalah untuk menuntut hak Kesultanan Sulu, meminta kerajaan Malaysia kaji balik bayaran RM5,000, ingin membuat Kampung Tanduo sebagai perkampungan mereka dan akan mempertahankan kalau diserang," katanya ketika membela diri atas tuduhan itu di hadapan Hakim P Ravinthran.
  
Hassan Ali berkata demikian ketika memberi keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh selepas Mahkamah Tinggi pada 17 Julai lepas memerintahkannya membela diri apabila pihak pendakwaan, diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan menghasilkan kes prima facie terhadap tertuduh.   
  
Beliau yang berasal dari Semporna didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Hassan Ali juga berkata beliau dimaklumkan orang itu (Datu Piah) bahawa mereka ada membuat tuntutan ke atas Sabah secara bertulis kepada pihak berkuasa Malaysia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
  
"Dia juga memberitahu saya bahawa kerajaan Malaysia sudah lama mengetahui tuntutan mereka sebelum kedatangan mereka ke Kampung Tanduo," katanya.
  
Katanya, dia memaklumkan perjumpaan itu kepada anggota polis yang bertugas di Bilik Gerakan Cawangan Khas Lahad Datu tetapi "saya tidak membuat laporan bertulis kerana pada masa itu saya masih bercuti dan keesokan harinya (14 Februari) saya berangkat ke Kota Kinabalu bagi mengatur pertunangan anak lelaki saya."
  
Dalam keterangannya, Hassan Ali berkata beliau bukan pengganas dan tidak terlibat dengan mana-mana aktiviti pengganas oleh pengikut Kesultanan Sulu, sebaliknya menjalankan tugas sebagai anggota polis Cawangan Khas seperti yang diarahkan untuk membuat risikan berhubung aktiviti pengikut Datu Ismail Kiram.
  
"Saya tidak pernah terlibat dengan mana-mana aktiviti perbuatan keganasan oleh pengikut Kesultanan Sulu yang menceroboh Kampung Tanduo, Lahad Datu.
  
"Saya sangat hairan kenapa saya sebagai seorang anggota polis yang berpangkat paling rendah dipersalahkan walaupun saya telah melaporkan semua maklumat yang saya peroleh dari sumber saya berhubung dengan Kesultanan Sulu kepada Ketua Cawangan Khas Daerah sedangkan bukan saya seorang sahaja yang membuat risikan maklumat Kesultanan Sulu," katanya.
  
Dia  menjelaskan bahawa semua anggota Cawangan Lahad Datu mempunyai maklumat berhubung Kesultanan Sulu dan ancamannya ke atas Sabah.
  
"Sekiranya, Ketua Cawangan Khas Sabah mengatakan bahawa beliau tidak mendapat maklumat berhubung Kesultanan Sulu daripada Ketua Cawangan Khas Daerah, ini bermakna semua anggota cawangan khas Lahad Datu tidak melaporkan maklumat itu.
  
"Intipati-intipati pertuduhan ke atas saya adalah tidak benar dan bertujuan untuk menyalahkan saya sedangkan IPK Sabah di Kepayan telah mengetahui maklumat pencerobohan pengikut Kesultanan Sulu di Kampung Tanduo lebih awal dari saya sebelum pencerobohan berlaku pada 12 Februari 2013," katanya.
  
Menurutnya, semua maklumat berhubung Kesultanan Sulu yang diperoleh daripada sumber di luar dan dalam bandar Lahad Datu dilaporkan kepada pegawai bertugas melalui Bilik Gerakan Cawangan Khas Lahad Datu.
  
Katanya, selama bertugas sebagai Detektif Cawangan Khas sejak 1975, dia tidak pernah menerima arahan dari Ketua Cawangan Khas Sabah atau Ketua Cawangan Khas Daerah Lahad Datu supaya semua maklumat yang diperoleh hendaklah dilaporkan secara bertulis.
  
Hassan Ali berkata sebelum arahan diberikan kepadanya untuk membuat risikan dan mendapatkan maklumat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan sudah mengetahui maklumat berhubung tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah.
  
Bagaimanapun, dia mengakui banyak membuat panggilan ke Filipina atas arahan pegawai atasannya bagi mendapatkan maklumat dari sumber beliau yang dikenali sebagai 'Istino Bin Jair'.
  
Katanya pada 21 Februari lepas, dia menghubungi Istino melalui telefon dan dimaklumkan bahawa 'perancangan Datu Ismail Kiram untuk menuntut Sabah memang ada dan orang-orang Suluk dari Basilan, Jolo dan Tawi-Tawi mahu membantu Datu Ismail Kiram.
  
Menurutnya, pada 28 Februari lepas, dia dimaklumkan Istino bahawa Datu Ismail Kiram berjumpa bekas pengikut MNLF di San Rocky, Zamboanga.
      
"Saya ada memberitahu kepada penyelia saya berkenaan maklumat dari dua panggilan telefon itu dan dia telah menghantar ke Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan.
  
"Saya juga ada membuat panggilan telefon kepada sumber saya 'Abdul Rajan' yang bertugas di Integrated National Polis (INP) di Basilan, Filipina, dan dia memaklumkan saya bahawa ada tiga kumpulan iaitu dari Basilan, Jolo dan Tawi-Tawi yang mana kumpulan dari Basilan tidak membantu Datu Ismail Kiram," katanya.
  
Mengenai perbualan pintasan komunikasi yang diterjemahkan saksi kedua yang dilindungi di antara beliau dengan 'Lelaki Sabah', Hassan Ali berkata ia adalah tidak benar dan ditokok tambah.
  
"Semasa di Mahkamah rakaman perbualan telefon saya dengan 'Lelaki Sabah' tidak dikemukakan oleh pihak pendakwaan. Rakaman perbualan telefon saya dengan 'Lelaki Sabah' sepatutnya dikemukakan di Mahkamah bagi memastikan perbualan sebenar dan suara saya.
  
"Saya mengatakan bahawa penterjemahan pintasan komunikasi itu adalah palsu dan digunakan untuk memerangkap saya sebagai kambing hitam dalam kes ini. Saya juga tidak ada kaitan dengan Hassan yang dimaksudkan dalam penterjemahan pintasan komunikasi di antara Datu Amir Baha dan Raja," katanya.
  
Dalam keterangan akhirnya, Hassan Ali berkata semua bukti yang dikemukakan oleh pihak Cawangan Khas adalah tidak betul, berat sebelah dan hanyalah propaganda untuk mengenakan dan menyebabkannya menjadi kambing hitam mereka dalam peristiwa pencerobohan pengikut Kesultan Sulu di Kampung Tanduo.
  
Tertuduh yang diwakili peguam-peguam Ram Singh, Kamarudin Mohd. Chinki, Syaiful Sufyyan Sidin dan Lo Yun Sin didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Cawangan Khas Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu antara Januari dan 3 Mac lalu. Sepanjang perbicaraan bermula pada 24 hingga 28 Jun lalu, pihak pendakwaan memanggil 18 saksi untuk memberi keterangan.
  
Perbicaraan bersambung semula 2 Ogos ini.- Bernama

Tiada ulasan: