Ahad, 28 Julai 2013

Batal 22 Cawangan MCA Cheras Ikut Arahan ROS - Chua



MSTAR ONLINE
 
KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata tindakan parti itu mengeluarkan notis pembatalan 22 cawangan MCA bahagian Cheras dibuat atas arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

"Pemberhentian operasi cawangan-cawangan itu bukan kami yang membuat keputusan, kami hanya mengikut arahan ROS untuk memberitahu mereka sahaja," katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.
Beliau turut menegaskan bahawa mana-mana cawangan MCA yang tidak diiktiraf oleh ROS adalah tidak dibenarkan untuk mengadakan pemilihan serta mesyuarat agung tahunan.

Bagaimanapun Pengerusi MCA Bahagian Cheras Tan Sri Tee Hock Seng mempersoalkan kenapa MCA pusat hanya mengambil tindakan pada masa ini memandangkan dakwaan yang dibuat antara sebab utama 22 daripada 68 cawangannya tidak diiktiraf kerana tidak menghantar laporan tahunan mesyuarat cawangan ialah sejak tahun 2011.

Tee berkata pihaknya hanya mengetahui masalah itu pada 8 Julai 2013 menerusi notis daripada MCA pusat, dan beliau berkata: "kalau ya pun kami tidak mengikuti prosedur, mengapa baru sekarang perkara ini dibangkitkan sedangkan ia telah wujud sejak dua tahun lalu?".

Bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini, beliau turut mempersoalkan kesahihan pemilihan pemimpin parti yang dibuat oleh cawangan itu sebelum ini, dan mempersoalkan adakah pemilihan yang dibuat oleh 22 perwakilan bahagian Cheras juga tidak sah selama ini?.

Tee berharap MCA pusat, terutama Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Kong Cho Ha dan ROS dapat menyelesaikan masalah itu secepat mungkin bagi mengelakkan kira-kira 2,500 anggota daripada 22 cawangan itu tidak dapat membuat pilihan pemimpin mereka, baik di peringkat cawangan, bahagian dan pusat.

Pihaknya telah membuat aduan kepada MCA pusat selepas menerima notis itu, dan MCA pusat telah mengeluarkan surat bertarikh 18 Julai bahawa hanya satu cawangan iaitu Taman Cantek memenuhi keperluan Seksyen 14 Akta Pertubuhan 1966 dengan mengemukakan Penyata Tahunan yang dikehendaki dan dibenar beroperasi semula.

"Mengapa masih ada 21 cawangan lain yang masih tidak dipulihkan sedangkan mereka juga turut memenuhi syarat menghantar laporan tahunan pada setiap tahun?" katanya.

Sementara itu Kong dalam kenyataan akhbar semalam berkata masalah itu timbul disebabkan 22 cawangan itu tidak mengikut peraturan yang termaktub dalam Seksyen 14(1) Akta Pertubuhan 1966 iaitu menghantar laporan tahunan tepat pada masanya pada setiap tahun.

Jawapan Kong disangkal oleh Tee yang mendakwa cawangan terlibat menghantar laporan tahunan mereka pada setiap tahun tepat pada masanya.

Tee mahu Kong turun padang dan memberi penjelasan mengenai perkara itu kepada ahli parti di 22 cawangan itu yang tidak puas hati dengan tindakan MCA pusat dalam menghalang mereka mengadakan pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian.

MCA pusat dalam notis kepada 22 cawangan mendakwa 14 daripada mereka tidak mempunyai rekod penubuhan, tujuh daripadanya menerima surat perintah pembatalan dan satu cawangan iaitu Jalan Cheras 2 3/4 Miles atas alasan tidak pernah wujud menerima surat perintah pembubaran sementara.

"Tarikh akhir untuk proses rayuan keanggotaan parti sebelum pemilihan serta mesyuarat agung cawangan iaitu pada 2 Julai, sedangkan kami menerima notis itu enam hari kemudian dan menyebabkan pemilihan dan mesyuarat tidak dapat diadakan," ujar beliau.

Tee berkata 14 cawangan yang didakwa tidak mempunyai rekod penubuhan ialah Taman Cantek, Taman Bukit Ria, Taman Bobena, Jalan Yew, Taman Billion, Taman Tayton, Flat Taman Sri Bahtera, Flat Taman Desa Aman, Jalan Lanchang, Prisma Perdana, Taman Midah Selatan, Taman Midah Barat, Taman Miharja Phase II, dan Rumah Pangsa Taman Shamelin.

Sementara tujuh cawangan yang perlu dibatal penubuhannya ialah Kampung Satu, Taman Miharja, Miharja Jaya, Taman Pertama, Taman Midah Jaya, Taman Bukit Mewah serta Rumah Pangsa San Peng.
Tee tidak menolak kemungkinan ada pihak yang cuba melakukan sabotaj terhadap mereka dengan menghalang mereka mengadakan pemilihan semula parti pada peringkat cawangan serta bahagian. BERNAMA

Tiada ulasan: