Jumaat, 19 Julai 2013

Aidilfitri: Tiada khabar gembira selain pembebasan tahanan ISA

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR : Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menyambut baik ‘berita baik’ yang bakal diterima tahanan Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan keluarga yang diumum Menteri Dalam Negeri 11 Julai lalu.

“Walaupun tidak menjelaskan secara lanjut mengenai berita gembira tersebut, namun Suaram mengambil positif dan berharap agar berita baik itu ialah pembebasan serta merta kesemua baki tahanan ISA bersempena ketibaan Hari Raya Aidilfitri,” ujar Penyelaras Suaram, Syukri Razab dalam kenyataan.

mansuhkan-isaSejak pengumuman ISA akan dimansuhkan oleh Perdana Menteri pada 16 September 2011, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) secara konsisten menyampaikan suara rakyat kepada bekas Menteri berkaitan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagi mendesak pembebasan segera semua tahanan.

Berdasarkan rekod Suaram, 13 orang tahanan ISA yang belum dibebaskan. Daripada jumlah tersebut, 7 warga tempatan, 2 Sri Lanka, 3 Filipina dan seorang warga Indonesia.

Syukri menegaskan, pembebasan kesemua tahanan tidak boleh dianggap sebagai hadiah atau bonus daripada kerajaan kepada tahanan dan keluarga.

Hal ini katanya kerana pembebasan itu merupakan tanggungjawab kerajaan yang sepatutnya sudah lama dilakukan.

Beliau berkata, pemansuhan ISA merupakan signifikan jelas yang menunjukkan kerajaan akur kepada kehendak rakyat yang menuntut agar akta zalim ISA dimansuhkan.

“Tindakan kerajaan membiarkan baki tahanan ISA terus dikurung di bawah akta zalim yang telah dimansuhkan merupakan tindakan tidak masuk akal,” kata Syukri.

Katanya, kerajaan juga perlu menyiasat segala dakwaan penyeksaan dilakukan polis terhadap tahanan dan mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Tambahnya, kerajaan juga perlu membayar pampasan setimpal kepada kesemua keluarga tahanan akibat penderitaan ditanggung mereka.

Kerajaan juga kata Syukri perlu memberi jaminan untuk tidak akan menggubal sebarang undang-undang pencegahan lain yang menghalalkan penahanan tanpa bicara seperti ISA dan Akta Darurat (EO) jika benar tahanan akan dibebaskan.

Tiada ulasan: