Khamis, 25 Julai 2013

5,696 pengundi berjiwa besar di Kuala Besut



Oleh Abd Shukur Harun

Seperti yang dijangka ramai orang - berdasarkan situasi pilihan raya kecil Dun Kuala Besut itu sendiri, demografi pengundi dan limpahan pelbagai janji, imbuhan pelbagai bentuk - maka calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman menewaskan lawannya dari PAS, Endut@Azlan Yusof dengan majoriti 2,592 undi. BN memperolehi 8,288 undi, manakala PAS pula memperolehi 5,696 undi. 

Pada pendapat saya, mereka yang mengundi PAS seramai 5,696 itu adalah pengundi yang sangat luar biasa, mempunyai daya pemikiran politik yang menjangkau jauh walaupun berada di kawasan nelayan miskin.
Mereka berfikiran matang dan mempunyai harga diri, tidak mudah dibeli, tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai janji yang ditaburkan sepanjang kempen.

Boleh ditafsirkan bahawa dalam situasi yang sedemikian rupa, masih ada sejumlah 5,696 pengundi yang berjiwa besar dan pengundi inilah menjadi kekuatan asas kepada PAS sendiri untuk merancang masa depannya di kawasan ini.

Pilihan raya kecil Kuala Besut memang sangat luar biasa walaupun hanya 17,679 pengundi – 98 peratus Melayu – kerana pilihan raya kecil tersebut telah mencapai rekod tertinggi peruntukan, pelbagai habuan, janji projek dan pelbagai lagi daripada Barisan Nasional.

Jumlah semuanya RM337 dan sekiranya jumlah itu dibahagikan di kalangan 17,679 pengundi berdaftar, ini bermakna undi di Kuala Besut bernilai RM19,000 setiap satu. Demikian menurut badan reformasi pilihan raya Bersih 2.0.

Bagaimanapun, menurut Ahli Jawatankuasa Induk PRK Kuala Besut Dr Dzulkefly Ahmad pula, jumlah peruntukan yang digunakan oleh Umno BN sehingga hari terakhir kempen tersebut mencecah RM476.19 juta. Jumlah ini sekaligus meletakkan nilai PRK Kuala Besut antara yang tertinggi dalam sejarah pilihan raya.

Dalam hubungan ini Bersih 2.0 membidas berleluasanya kejadian pancing undi dengan dana awam yang dilakukan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri pada kempen pilihan raya kecil itu.

Kuala Besut adalah sebuah kawasan nelayan  miskin yang bersempadan dengan Negeri Kelantan. Selama kempen itu, Umno/BN menaburkan pelbagai janji projek, khususnya perumahan untuk nelayan miskin, serta pelbagai habuan lain yang tidak terpermenai banyaknya dan tentunya pengundi di situ ‘sangat beruntung’ justeru hari raya akan menjelang dua minggu lagi.

Seperti saya katakan dulu bahawa sepanjang sejarah pilihan raya di Malayasia, kawasan miskin, lebih-lebih lagi yang jauh di pedalaman, maka Umno/BN begitu mudah mencapai kemenangan setiap pilihan raya. Bahkan ada persepsi umum bahawa kawasan miskin menjadi ‘simpanan tetap’ kepada Umno/BN.

Ertinya, Umno/BN tidak bimbang kedudukannya jika pilihan raya di adakan di kawasan miskin, bukan kerana ia benar-benar pembela golongan tersebut, tetapi ‘pengundi menerima habuan dan membalas budi’. Beri saja mereka habuan, mereka mudah mengundi Umno/BN. Kaedah ini yang dilakukan oleh mereka sejak ‘zaman berzaman’, dijangka akan berterusan, justeru cara ini mudah dilakukan dan kesannya lumayan.

Pengundi Kuala Besut dan kawasan pedalaman miskin yang lain tidak memerlukan isu besar dan canggih seperti kegawatan ekonomi, kronisme, nepotisme, pembaziran, pelanggaran hak asasi manusia, demokrasi, kebebasan bersuara dan lain-lain.

Pengundi di kawasan miskin hanya memikirkan sekitar kehidupan harian mereka. Maka golongan seperti inilah menjadi ‘lubuk’ yang sangat mudah Umno/BN mengekalkan pengaruhnya yakni mereka membawa habuan yang banyak dari kota dan menaburkan janji pelbagai projek.

Sebab itu, hampir setiap hari sepanjang kempen pilihan raya kecil di Kuala Besut ini janji demi janji diumumkan, di samping pelbagai habuan lain. Saya melihat pelbagai gambar jamuan demi jamuan di malam hari di kawasan itu dan di siang hari pelbagai bantuan lain dihulurkan.

Inilah suasana ketika kempen pilihan raya di Dun tersebut. Beberapa pengundi yang ditemui berkata: “PAS bagus, tapi dia tidak boleh beri wang.” Ini menggambarkan hampir keseluruhan suasana di situ.

Menurut kajian Ilham Centre, kedudukan sosioekonomi pengundi di Dun tersebut yang berada di bawah garis kemiskinan menyebabkan kebergantungan kepada manipulasi bantuan pihak BN.

Sebab itu saya mengatakan dari awal bahawa PAS menghadapi pilihan raya kecil Kuala Besut ini dalam situasi up-hill battle, sepeprti mendaki bukit. Bagaimanapun jentera PAS/Pakatan rakyat sewajarnya dipuji kerana telah  bertungkus-lumus siang dan malam, tidak kira walaupun pada bulan Ramadhan.

Dalam pilihan raya kecil Kuala Besut itu tercipta sejarah hitam yang akan diingat lama, apabila pihak pengurusan kem tentera Gong Kedak, di Besut, seperti yang dilaporkan, menghalang Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menunaikan solat Maghrib di masjid TUDM. Itulah antara wajah buruk pilihan raya kecil Dun tersebut.

Sementara itu, sewajarnya kita mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengarah PRK PAS Kuala Besut, Dato’ Husam Musa, Yang Dipertua PAS Besut Wan Azhar Wan Ahmad, Pengurus Kempen PRK Kuala Besut Hanapiah Mat dan pimpinan semua peringkat yang bekerja keras semasa kempen tersebut.

Yang sangat penting difikirkan di sini ialah supaya PAS/Pakatan Rakyat menumpukan perhatian mendidik pengundi, memberikan kefahaman dan kesedaran politik bukan saja kepada pengundi di Dun Kuala Besut tetapi juga di seluruh negara terutamanya di kawasan pedalaman.

PAS/Pakatan Rakyat mempunyai harapan masa depan. Pakatan telah menawan pengundi bandar dalam PRU yang lalu. Oleh itu, perhatian serius perlu diberi kepada pengundi luar bandar, di samping mengekalkan sokongan pengundi bandar.

Tiada ulasan: