Selasa, 11 Jun 2013

Tumpu Jaga Politik, Jenayah Meningkat Polis Berdepan Krisis Dan Keyakinan Rakyat


Tony Pua Wancara 01

SHAH ALAM  : Tony Pua menyifatkan Malaysia kini makin terhimpit dengan peningkatan agresif kadar jenayah, peningkatan kes kematian dilokap tetapi dalam masa yang sama objektif pasukan keselamatan lebih berorientasikan politik sehingga menyebabkan polis terpaksa berhadapan  krisis keyakinan dan kredibiliti.

Situasi ini hanya menjelaskan kesan buruk tindakan kerajaan BN yang ingkar untuk melaksanakan cadangan serta laporan Suruhanjaya Diraja bagi menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

“IPCMC adalah bertujuan menjadi agensi untuk memeriksa disiplin dan memupuk semangat profesionalisme dalam pasukan polis di samping memastikan polis mematuhi segala doktrin, undang-undang, peraturan dan prosedur yang ditetapkan,” ujarnya yang juga Setiausaha Publisiti DAP dalam satu kenyataan media.

Sabtu lalu, hampir 70 orang dirompak di sebuah restoran ‘steamboat’ di Cheras oleh sekumpulan 10 orang yang bersenjatakan parang dan batang besi, menyebabkan kerugian lebih RM20, 000 kepada pengunjung dan pemilik restoran.

Malah, polis juga didakwa turut menerima empat lagi laporan kejadian rompakan seumpama itu di sekitar Kuala Lumpur selain satu lagi laporan di Petaling Jaya dalam tempoh dua minggu.

“Kita tidak bercakap mengenai rompakan bersenjata terhadap seseorang yang berjalan di lorong gelap dan terpencil, sebaliknya kita melihat rompakan bersenjata terang-terangan di restoran terbuka yang sesak,” ujar Tony kesal.

Perdana Menteri pula dalam satu kenyataan dipetik Bernama pada Sabtu lepas menyeru sektor swasta, khususnya pemilik pusat-pusat membeli-belah, meningkatkan tahap keselamatan di premis mereka dengan memasang lebih banyak Closed Circuit Television (CCTV) selain mengupah lebih ramai pengawal keselamatan.

“Walaupun tindakan tambahan di atas boleh membantu mengurangkan jenayah, tanggungjawab untuk memerangi jenayah, seperti rompakan terbuka di restoran ganas dan keterlaluan, hanya boleh dikendalikan oleh pihak polis,” tegasnya.

Beliau juga mengulangi kebimbangan berhubung tumpuan pasukan polis yang banyak dibazirkan untuk memburu aktivis politik dan pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Rekod sembilan kematian yang dilaporkan dalam tahanan pihak polis dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini juga dilihat antara penyebab reputasi professional polis hancur.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara menyalahkan kerajaan BN atas kegagalan dalam memastikan bahawa setiap rakyat di negara ini selamat.

“Sekiranya BN masih lagi bermimpi untuk memenangi semula sokongan daripada penduduk bandar di Malaysia pada pilihan raya umum akan datang, maka mereka perlu melaksanakan IPCMC,” katanya.

Tiada ulasan: